Kit Siang hairan cara Malaysia tangani krisis

Kit Siang hairan cara Malaysia tangani krisis

Katanya, tindak balas kerajaan dalam mengendalikan bencana dan skandal seperti "berterabur" dan "mengejutkan".

limkitsiang-mh370-kimjongnam
SUBANG JAYA:
Pemimpin tertinggi DAP, Lim Kit Siang berkata dia buntu dalam mencari penjelasan rasional terhadap kecenderungan Malaysia menangani bencana dan skandal kebelakangan ini.

Ahli Parlimen Gelang Patah itu mendakwa tindak balas kerajaan dalam mengendalikan kes itu seperti “berterabur” dan “mengejutkan”.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor Hannah Yeoh Tseow Suan berhubung usaha yang diambil oleh kerajaan dalam mengendalikan isu MH370 dalam sesi “teh tarik” di Summit USJ malam tadi.

“Kenapa semuanya berlaku di Malaysia?

“Ia seperti ada kuasa besar sedang menyampaikan mesej kepada Malaysia,” kata Kit Siang dengan merujuk kepada beberapa insiden seperti MH370, MH17 dan pembunuhan abang sebapa pemimpin Korea Utara, Kim Jong Nam.

“Hingga kini rakyat Malaysia malu untuk mengaku ini negara mereka,” katanya.

Beliau juga menggesa kerajaan menyambung kembali carian ke atas misteri kehilangan MH370.

Lim berkata Putrajaya dan Malaysia Airline Berhad (MAB) dikritik teruk di peringkat antarabangsa kerana cara pengendalian mereka terhadap isu ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.