
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan Supt Shafee Abdul Samad berkata dalam kejadian kira-kira 1.30 tengah hari itu, wanita berusia 74 tahun itu dan suaminya didatangi seorang lelaki berpakaian kemas dan memakai kopiah mendakwa dari JKM.
“Lelaki datang ke rumah mangsa untuk mengambil gambar keadaan rumah bagi membolehkan JKM menyalurkan bantuan dan suspek menyuruh wanita itu menanggalkan rantai serta gelang emas yang dipakainya.
“Dia memberitahu 3 lagi rakannya dalam perjalanan untuk ke rumah mangsa dan suspek turut memberikan RM10 kepada suami mangsa kononnya untuk sedekah,” katanya.
Beliau berkata lelaki terbabit menyuruh mangsa menyediakan minuman untuk dia dan rakannya yang akan tiba dan suspek juga mengambil gambar bahagian dapur rumah sebelum kembali ke ruang tamu.
Shafee berkata wanita itu melihat lelaki terbabit tergesa-gesa meninggalkan rumah semasa hendak menghidangkan air dan cuba memanggil lelaki terbabit tetapi suspek terus melarikan diri menggunakan motosikal.
“Mangsa kemudian memeriksa dalam almari ruang simpanan barang kemasnya dan mendapati rantai serta gelang emas dan wang tunai RM800 yang disimpan dalam beg kecil hilang dipercayai dilarikan suspek,” katanya.
Nilai barangan kemas itu kira-kira RM5,000, katanya.
Beliau berkata siasatan awal mendapati lelaki itu dipercayai terlibat dalam beberapa kes yang menggunakan modus operandi sama di daerah itu.
Usaha mengesan lelaki berusia lingkungan 20-an itu giat dijalankan dan polis meminta orang ramai yang pernah menjadi mangsa atau mempunyai maklumat berhubung kejadian seperti itu agar menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan, katanya.