Anwar: Felda perlu rombakan besar bukan hanya tukar pengurusan

Anwar: Felda perlu rombakan besar bukan hanya tukar pengurusan

ekas ketua pembangkang menyeru perubahan pada dasar Felda menyentuh 3 perkara iaitu kemiskinan, darjat peneroka dan pembelaan nasib mereka.

Anwar-Ibrahim
SHAH ALAM:
Bekas ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata masalah dalam Felda tidak akan selesai dengan hanya menukar barisan pengurusan.

Sebaliknya tegas beliau, perubahan perlu dilakukan pada dasar Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan menyentuh 3 perkara iaitu kemiskinan, mengangkat darjat peneroka dan membela nasib mereka.

“Selagi matlamat itu belum tercapai, projek mega seperti stadium dan gedung mewah yang menghirup hasil peneroka mesti dihentikan,” kata Anwar dalam amanat kepada warga Felda yang disampaikan melalui Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail di sini, hari ini.

Di sebalik pelbagai isu yang dibangkitkan oleh pembangkang kebelakangan ini, Felda menyaksikan perubahan dalam barisan kepimpinan dan pengurusan termasuk pengerusinya ditukar. Ia kini diketuai oleh Tan Sri Shahrir Abdul Samad.

Amanat Anwar itu dibacakan di Konvensyen Warga Felda, yang diadakan di Dewan Jubli Perak Sultan Abdul Aziz di sini hari ini.

Anwar sedang menjalani hukuman penjara 5 tahun di penjara Sungai Buloh.

Dalam amanatnya, bekas timbalan perdana menteri itu turut mendakwa Felda tidak menghebahkan keuntungan sebenar lembaga itu kepada peneroka.

Beliau menegaskan, keuntungan Felda harus dinikmati bersama keluarga Felda dan bukannya orang atasan atau tokoh politik tertentu.

“Peneroka generasi pertama telah membanting tulang menjarah hutan belantara dan merupakan tenaga utama mengangkat Felda sebagai gergasi di dunia korporat.

“Maka adalah menjadi hak peneroka dan keluarga mereka untuk dilayani dan diberikan hak yang setimpal dengan pengorbanan.

“Hentikan amalan boros, pelaburan sia-sia atau merompak harta peneroka,” katanya.

Minggu lalu, Shahrir menyifatkan tindakan Pakatan Harapan menganjurkan konvensyen hari ini bermotifkan politik yang ingin menghasut peneroka untuk membenci kerajaan.

Beliau berkata, pihak berkenaan tidak perlu merumitkan keadaan sebaliknya membantu menyelesaikan masalah yang sedia wujud.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.