Kertas siasatan tragedi basikal diserah ke pejabat timbalan pendakwa raya

Kertas siasatan tragedi basikal diserah ke pejabat timbalan pendakwa raya

Ketua Polis Johor Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd berkata polis menyelesaikan siasatan mereka dan masih menunggu tindakan seterusnya.

Datuk-Seri-Wan-Ahmad-Najmuddin-Mohd
JOHOR BAHRU:
Polis menyerahkan kertas siasatan kemalangan basikal yang mengorbankan 8 remaja di Jalan Lingkaran Dalam, di sini pada 18 Februari lepas, kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya.

Ketua Polis Johor Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd berkata polis menyelesaikan siasatan mereka dan masih menunggu tindakan seterusnya.

“Di pihak polis, siasatan sudah selesai dan kita masih lagi menunggu jika ada sebarang tindakan susulan kerana untuk pertuduhan ia mesti datang dari Pejabat Timbalan Pendakwa Raya,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Dalam kejadian awal pagi 18 Februari lalu, 8 remaja lelaki maut manakala 8 lagi cedera apabila basikal yang mereka naiki dirempuh sebuah kereta.

Kejadian berlaku di Jalan Lingkaran Dalam, bersebelahan Tanah Perkuburan Mahmoodiah, di sini.

Sementara itu, Wan Ahmad Najmuddin berkata Polis Johor akan melupuskan pelbagai jenis dadah seberat 267.5 kilogram yang bernilai hampir RM11 juta yang dirampas dari tempoh 2003 hingga 2013.

Menurutnya pelupusan secara besar-besaran itu dilakukan dengan kerjasama syarikat Kualiti Alam Sdn Bhd di mana hasil rampasan tersebut akan dilupuskan di Bukit Pelanduk, Negeri Sembilan.

“Semua barang kes yang terdiri daripada dadah dan peralatan memprosesnya yang mahu dilupuskan melibatkan 3,537 kes dari 2003 hingga 2013 yang telah selesai dan mendapat kebenaran mahkamah dan Timbalan Pendakwa Raya negeri untuk pelupusan,” katanya.

Menurutnya dadah yang dilupuskan itu terdiri daripada heroin (2.1kg), ganja (44.3kg), ketamin (10.3kg) amphetamine (33.1kg), methamphetamine/syabu (47.8kg), nimetazepam/erimin 5 (45.2kg).

Kodein/ubat batuk (21.8kg), cafein (43.5kg), mitragynine/ketum (14.4kg) dan lain-lain dadah kira-kira 5kg.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.