Awas, gambar anak di Whatsapp, Facebook undang bahaya

Awas, gambar anak di Whatsapp, Facebook undang bahaya

Ia mengundang risiko jenayah, di samping gambar itu masih berlegar walaupun dipadam.

whatsapp-2
IPOH:
Orang ramai disaran supaya tidak menjadikan gambar keluarga terutama anak-anak mereka sebagai gambar profil pada aplikasi Whatsapp kerana ia boleh mengundang risiko keselamatan.

Penolong Pesuruhjaya Perlindungan Data Peribadi, Jabatan Perlindungan Data Peribadi Mohd Shazrol Mohd Shah berkata adalah dibimbangi pihak yang berniat jahat mengakses gambar itu seterusnya mengecam wajah anak pemilik nombor telefon.

“Gambar profil WhatsApp bertujuan mungkin untuk mengenal pasti kawan-kawan cuma kita sarankan agar mereka meletakkan satu gambar yang elok untuk diri sendiri.

“Kita jangan meletakkan gambar anak atau gambar orang lain kerana perkara ini boleh menyebabkan penjenayah dapat mengakses gambar tersebut sekali gus
mencetuskan kejadian yang tidak diingini,” katanya.

Shazrol berkata demikian kepada Bernama selepas Sesi Perkongsian Maklumat Industri 2017 anjuran Forum Pengguna Komunikasi dan Multimedia Malaysia sempena Hari Hak-Hak Pengguna Sedunia di sini semalam.

Shazrol berkata tidak menjadi masalah sekiranya orang ramai tidak meletakkan gambar profil pada WhatSapp kerana aplikasi tersebut tetap boleh digunakan.

Terdahulu, dalam taklimatnya Shazrol menasihati ibu bapa supaya tidak meletakkan gambar anak mereka dalam laman sosial termasuk Facebook kerana
ia juga boleh mengundang risiko jenayah.

“Penggunaan Facebook amat berisiko kerana walaupun gambar dalam akaun sudah dipadam, namun ia masih tersimpan di luar negara kerana data laman sosial itu diproses di luar negara,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 tidak terpakai untuk sebarang perlanggaran di Facebook.

Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (Akta 709) diluluskan di Parlimen pada Jun 2010 dan dikuatkuasakan pada 15 Nov 2013.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.