Kabinet setuju kaji hukuman mati pesalah dadah, kata Azalina

Kabinet setuju kaji hukuman mati pesalah dadah, kata Azalina

Mesyuarat Kabinet pada 1 Mac lalu bersetuju untuk meminda Seksyen 39 B Akta Dadah Berbahaya 1952.

azalina-dadah
KUALA LUMPUR:
Kabinet bersetuju untuk mengkaji semula hukuman mati ke atas pesalah yang terbabit dalam kesalahan dadah, kata Datuk Seri Azalina Othman.

Menteri di jabatan perdana menteri berkata, mesyuarat Kabinet pada 1 Mac lalu bersetuju untuk meminda Seksyen 39 B Akta Dadah Berbahaya 1952 atau Akta 234, yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika disabit kesalahan memiliki dadah melebihi sukatan tertentu.

“Pada 1 Mac, langkah pertama yang kerajaan buat adalah untuk mengkaji semula kuasa hukuman mati ini agar diberi kuasa budi bicara kepada hakim-hakim.

“Bagaimanapun, cadangan kepada persepsi bagaimana yang perlu untuk hakim itu lihat dan gunakan sebagai budi bicara belum diputuskan,” katanya sewaktu perbahasan di Dewan Rakyat hari ini.

Azalina berkata, persetujuan Kabinet diperoleh selepas pejabat peguam negara selesai melakukan kajian mengenai pindaan itu.

“Pada minggu lepas saya memanggil peguamcara negara yang bertanggungjawab untuk melihat agar perkara ini dapat dibawa ke Kabinet dan segera dibawa ke Parlimen,” katanya.

Pihaknya juga sedang meneliti bagaimana pindaan itu boleh dilakukan dengan menjadikan negara jiran sebagai contoh.

“Contoh yang paling dekat adalah di Singapura. Di mana, mereka menetapkan kuasa budi bicara dalam keadaan tertentu dalam isu berkaitan dadah,” katanya.

Kenyataan Azalina disambut baik M Kulasegaran (DAP-Ipoh Barat) yang menyatakan langkah pertama menghapuskan hukuman mati sebagai langkah yang baik.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.