
“Kami bimbang keselamatan anak-anak kerana sekolah itu menjadi lubuk masalah sosial,” kata Presiden Persatuan Penduduk Taman Desa, Wong Chan Choy kepada FMT.
“Anak-kanak datang ke sini pada waktu malam dan melakukan pelbagai perkara di belakang ibu bapa mereka seperti menghidu gam dan pernah sekali saya menangkap seorang gadis yang datang ke sini dengan kondom di dalam poketnya.”
Tinjauan FMT mendapati ada botol arak murah bertaburan di atas lantai di dalam beberapa bilik darjah yang terbiar, serta beg plastik kecil yang penuh dengan gam keras berwarna kuning.
Lukisan grafiti juga dilukis pada semua dinding.
Penduduk Taman Desa mencadangkan sekolah terbiar itu dihidupkan semula dan ditukar menjadi sebuah sekolah jenis kebangsaan Cina.
Timbalan presiden persatuan itu Yap Biow Hwee berkata ini kerana sekolah jenis itu amat diperlukan masyarakat setempat.
“Sekolah yang kita ada sekarang penuh sesak dan jika anda cuba mendaftar anak anda di salah sebuah sekolah itu sekarang, saya yakin anak anda tidak akan diterima masuk ke situ,” katanya.
Yap berkata buat masa ini terdapat 5 sekolah di kawasan itu iaitu 2 sekolah rendah, 2 sekolah menengah dan sebuah sekolah agama, sedangkan jumlah penduduk Taman Desa kini melebihi 40,0000 orang.
“Menurut guru yang kami temui, sekolah yang ada sekarang tidak hanya menerima pelajar di Taman Desa, malah turut menerima pelajar yang tinggal di kawasan sekitar.”
Katanya, sekolah jenis kebangsaan Cina pilihan yang terbaik kerana ia memberi kepelbagaian kepada penduduk.
“Sekolah Cina memberi lebih banyak pilihan aliran pendidikan yang mana ibu bapa mahu pilih dan hantar anak mereka,” katanya.
Wong berkata menukar sekolah terbiar itu kepada sekolah jenis kebangsaan Cina juga akan menggalakkan orang Melayu yang tinggal di rumah pangsa sekitar sekolah untuk menghantar anak mereka ke sana.
“Jika jaraknya membolehkan pelajar berjalan kaki, saya pasti lebih ramai orang Melayu akan tertarik untuk menghantar anak mereka ke sekolah Cina dan ini memberi peluang kepada mereka untuk bersaing dengan pelajar yang tahu 3 bahasa,” katanya.
Yap berkata penduduk di Taman Desa mungkin akan bertambah 20,000 lagi berbanding jumlah sedia ada sekarang apabila semua projek pembangunan kediaman bertingkat jenis pangsapuri dijangka dibina di kawasan itu.
Bangunan SK Danau Perdana terbiar sejak 2004 dan menurut laporan, penduduk pernah membawa perkara itu kepada Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok dan mereka diberitahu Kementerian Pelajaran menyaman kontraktor yang membina sekolah itu dan ia terikat dengan undang-undang.
“Apa yang kami dengar, pihak berkuasa tidak mampu berbuat apa-apa dengan sekolah itu,” kata Yap.