‘Superman’ dibebaskan dengan jaminan polis

hew-kuan

GEORGE TOWN: Bekas ahli DAP Hew Kuan Yau dibebaskan dengan jaminan polis selepas tahanan reman 3 hari yang dikenakan terhadapnya di lokap polis di Kulai, Johor, tamat hari ini.

Isterinya, Shannon Lew memberitahu FMT Hew dibebaskan pada jam 12.55 tengah hari tadi.

Lew berkata Hew akhirnya menamatkan mogok laparnya dengan makan semangkuk mi kari.

Hew sebelum ini berkata akan membuat mogok lapar susulan penahanannya.

Semalam, polis membawa Hew ke hospital untuk melakukan pemeriksaan kerana enggan makan. Beliau didapati sihat dan dihantar semula ke lokap polis.

Beliau ditahan pada Isnin di bangunan Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar), Pulau Pinang kira-kira 1 tengah hari, susulan satu laporan polis yang dibuat ke atasnya di sini pada 16 Mac lalu.

Selain penangkapan itu, polis turut merampas sebuah telefon bimbit dipercayai digunakan Hew untuk membuat kenyataan berkenaan di Facebook.

Hew didakwa membuat kenyataan tersebut dengan memuat naik poster parodi filem animasi Walt Disney, “Beauty and the Beast” yang disertakan gambar Najib serta isteri, Datin Seri Rosmah Mansor pada 13 Mac lalu.

Hew disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia atas kesalahan menyalahgunakan kemudahan jaringan atau perkhidmatan jaringan.

Jika sabit kesalahan, beliau boleh didenda RM50,000 dan penjara tidak melebih setahun.

‘Superman’ direman 4 hari hina Najib, Rosmah