Pertubuhan juruukur cadang tubuh unit kawal harga rumah

Pertubuhan juruukur cadang tubuh unit kawal harga rumah

Ia bagi membolehkan inisiatif seperti Rumah Impian Bangsa Johor diperluaskan ke seluruh negara

rumah
PETALING JAYA:
Pertubuhan Juruukur DiRaja Malaysia (RISM) mencadangkan penubuhan unit pengawasan khas di bawah lembaga perumahan dan hartanah negeri yang boleh menangani harga rumah melampau.

Mengambil ilham Persatuan Perumahan Khas Scotland, Naib Presiden RISM Brigedier Jeneral (B) Mohd Amin Din berkata kerajaan negeri dan persekutuan masih belum berkeupayaan untuk mengawal penyediaan rumah mampu milik untuk mereka yang memerlukan, disebabkan pemaju meletakkan harga yang melampau.

Beliau berharap penubuhan unit khas itu akan membolehkan idea seperti Rumah Impian Bangsa Johor (RIBJ) Yayasan Sultan Ibrahim dilaksanakan di semua negeri.

“Dengan unit khas itu mereka (kerajaan) boleh membuat pemantauan, mengawal dan kaji selidik berapa ramai pembeli, mengikut kaum dan juga membuat analisa daripada data tersebut, (dan melihat) kemungkinan ada penipuan dan perlakuan tidak jujur.

“Mereka juga boleh fokus jenis kediaman yang mampu dibeli oleh golongan yang berpendapatan sederhana,” katanya kepada FMT.

Persatuan Perumahan Khas Scotland ditubuhkan khusus untuk membina perumahan rakyat berkualiti. Dengan kumpulan arkitek, jurutera dan juruukur yang besar, ia bertanggungjawab kepada pembinaan estet perumahan rakyat dan pelopor awal teknologi reka bentuk seni bina berkomputer.

Membidas harga rumah yang melampaui keupayaan masyarakat berpendapatan rendah dan sederhana, RISM berharap kerajaan dan pemaju mengambil iktibar daripada inisiatif RIBJ yang mendapat sambutan menggalakkan.

“Kebanyakan pemaju hanya bermotifkan untung, sedangkan majoriti rakyat hanya mampu melihat. Kesudahannya, orang kaya akan terus bertambah kaya dan yang miskin dan tidak berkemapuan sampai bila harus dibela,” katanya.

“Sepatutnya orang yang yang berpendapatan tetap dan bergaji, mampu untuk membeli rumah tetapi harga yang melampau batas kemampuan, menyebabkan mereka tidak berkeupayaan untuk membeli walaupun untuk rumah pertama.”

RIBJ hasil cetusan idea Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar sebagai berita baik kepada rakyatnya sempena sambutan ulang tahun hari keputeraannya Khamis lalu.

Merangkumi pelbagai kategori jenis dan harga, peringkat awal projek membabitkan pembinaan lebih 1,800 unit di 3 lokasi sekitar Johor Bahru iaitu Bandar Dato Onn, Bandar Baru Majidee dan Bukit Saujana, lengkap dengan keperluan asas rumah seperti mesin basuh dan peti sejuk.

Ditawarkan daripada harga serendah RM80,000, RIBJ menerima 265,000 pra-permohonan melalui atas talian sejak skim dilancarkan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.