
Semalam, kerajaan mengesahkan Khalid Masood – penyerang berusia 52 tahun yang ditembak mati polis, pernah menggunakan WhatsApp sebelum melancarkan serangan yang meragut 4 nyawa dan mencederakan 50 mangsa.
Media pula melaporkan Masood pernah menggunakan perkhidmatan milik Facebook itu beberapa minit sebelum melancarkan serangan, tetapi tidak jelas sama ada dia ada menghantar sebarang mesej atau sekadar melihat aplikasi berkenaan.
Sehubungan itu, kerajaan mahu perkhidmatan keselamatannya diberikan akses kepada aplikasi mesej tersulit seperti WhatsApp, bagi memudahkan siasatan.
Setiausaha Dalam Negeri, Amber Rudd dipetik Sky News berkata, kegagalan polis dan perkhidmatan keselamatan memecah masuk aplikasi WhatsApp yang dilengkapi penyulitan data itu “tidak boleh diterima”.
“Anda tidak boleh ada situasi di mana pengganas berhubung satu sama lain – menghantar mesej WhatsApp dan ia tidak boleh diakses,” katanya.
Bercakap kepada BBC, Rudd berkata, kerajaan perlu memastikan syarikat teknologi seperti WhatsApp tidak memberi saluran rahsia kepada pengganas untuk berhubung satu sama lain.
Beliau mengakui penyulitan hujung ke hujung penting untuk keselamatan siber, perniagaan, perbankan dan transaksi lain – tetapi pihak berkuasa keselamatan negara perlu mempunyai akses kepada maklumat tertentu.
“Anda boleh mempunyai 1 sistem di mana mereka boleh membinanya supaya kita boleh mempunyai akses kepada maklumat itu apabila ia benar-benar diperlukan,” katanya kepada Sky News.
Rudd berkata, beliau belum berhasrat menggubal undang-undang baru, tetapi akan mengadakan pertemuan dengan pemain utama pada Khamis ini bagi membincangkan isu berkenaan dan “perang berterusan” ke atas video pelampau yang dimuat naik ke Internet.
WhatsApp yang “terkejut” dengan serangan minggu lalu itu berkata, syarikat terbabit sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa, tetapi menyatakan sama ada ia akan mengubah dasar penyulitannya.
“Kami terkejut dengan serangan di London dan sedang bekerjasama dengan penguat kuasa undang-undang ketika mereka meneruskan siasatan mereka,” kata jurucakap WhatsApp kepada AFP.
Semalam, polis menahan seorang lelaki berusia 30 tahun yang ditahan di bandar Birmingham kerana disyaki bersiap sedia untuk melancarkan serangan.
Sembilan daripada 12 suspek yang ditahan sejak serangan minggu lalu itu sudah dibebaskan tanpa dihadapkan ke mahkamah, manakala seorang lelaki berusia 58 tahun masih direman dan seorang lagi wanita berusia 32 tahun dibebaskan dengan jaminan.
Masood dilaporkan sengaja melanggar pejalan kaki di Jambatan Westminster sebelum menikam seorang anggota polis di pintu pagar Parlimen.
Kelmarin, pegawai kanan anti keganasan, Neil Basu berkata, mereka mungkin tidak tahu kenapa Masood yang mempunyai sejarah jenayah keganasan melancarkan serangan itu.
Walaupun polis percaya Masood bertindak sendirian, tetapi penyiasat masih cuba mengenal pasti jika dia digalakkan atau diarahkan pihak lain, memandangkan IS mengaku bertanggungjawab melancarkan serangan itu.
Firma teknologi dan pemain media sosial semakin tertekan ekoran pelampau menggunakan laman web, aplikasi dan teknologi mereka untuk berkomunikasi.
Tahun lalu, pihak berkuasa Amerika Syarikat mencabar gergasi teknologi Apple untuk mendapatkan akses kepada telefon pintar yang digunakan seorang penembak dalam serangan di San Bernardino, California, pada 2015.
Pakar FBI sendiri akhirnya berjaya memecah masuk ke dalam peranti itu.