Tambahan RM62 juta untuk SPR bukan untuk persempadanan semula

Tambahan RM62 juta untuk SPR bukan untuk persempadanan semula

Sebaliknya ia digunakan untuk menjalankan 3 pilihan raya pada 2016, kata Menteri Kewangan II Johari Abdul Ghani

johari-spr
KUALA LUMPUR:
Peruntukan tambahan berjumlah RM62 juta kepada Suruhanjaya Pilihan Raya bukannya untuk persempadanan semula pada tahun lalu, kata Menteri Kewangan II Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Beliau berkata, ia sebaliknya digunakan untuk menjalankan 3 pilihan raya pada 2016.

“Peruntukan tambahan bukan untuk persempadanan semula, tetapi digunakan sepenuhnya untuk PRN Sarawak sebanyak RM60 juta, PRK Kuala Kangsar (RM1.28 juta) dan PRK Sungai Besar (RM1.49 juta),” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ucapan penggulungan pembentangan peringkat dasar Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan (2016) 2017, selepas perkara itu dibangkitkan Ahli Parlimen Kuala Krai Mohd Hatta Ramli.

Johari turut berkata perbelanjaan keseluruhan bagi PRN Sarawak meningkat sebanyak RM6.4 juta.

“Bagi (PRN) 2011 perbelanjaan yang digunakan adalah RM79 juta manakala jumlah bagi 2016 adalah RM85.4 juta,” katanya.

Hari ini, kerajaan membentangkan Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan (2016) 2017 pada peringkat dasar, bagi memohon perbelanjaan tambahan sebanyak RM5.5 bilion bagi pengurusan dan pembangunan.

Antara kementerian yang mendapat peruntukan tambahan adalah Kementerian Pendidikan. (RM298 juta), Kementerian Kesihatan (RM104.4 juta) dan Kementerian Pengangkutan (RM215.7 juta).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.