
Beliau yang akan menamatkan perkhidmatannya tidak lama lagi berkata hakim di negara jiran seperti Singapura, Filipina dan Indonesia bersara pada usia antara 70 dan 75 tahun.
“Mereka terkejut hakim kita bersara usia 66 tahun,” katanya kepada wartawan ketika temu bual menjelang persaraannya minggu ini.
Arifin berkata hakim Mahkamah Persekutuan di Amerika Syarikat kekal memegang jawatan selagi mereka sihat fizikal dan mental.
“Kita tidak perlu ekstrem seperti itu tetapi cukuplah jika usia persaraan dinaikkan ke 70,” katanya.
Beliau berkata untuk melanjutkan tempoh perkhidmatan hakim, Perlembagaan Persekutuaan perlu dipinda dengan sokongan majoriti dua pertiga.
Bagaimanapun, katanya kerajaan Barisan Nasional tidak mempunyai majoriti untuk meluluskan pindaan perlembagaan di Dewan Rakyat.
Arifin berkata ia terserah kepada ahli Parlimen untuk mengundi mengikut kebijaksanaan mereka atau barisan parti jika pindaan seumpama itu akan dibentangkan.
Bekas menteri undang-undang Tan Sri Rais Yatim, yang tahun lalu mencadangkan lanjutan usia persaraan hakim berkata, hakim mungkin tidak ada desakan adrenalin seperti individu lebih muda, tetapi mereka ada “ketangkasan, kebijaksanaan dan kuasa minda yang kita mahu”.
Mengenai perkara lain, Arifin berkata beliau menggalakkan hakim untuk menulis penghakiman menentang jika mereka ada pandangan kuat mengenai kes yang perlu diputuskan.
“Perlu ada alasan sebenar untuk menentang. Jangan sewenangnya menentang hanya sekadar untuk menentang. Jika anda rasa anda perlu pandangan berbeza daripada majoriti, anda bertanggungjawab untuk berbuat begitu,” katanya.
Arifin berkata beliau sendiri pernah menulis penghakiman yang berbeza daripada majoriti ketika bertugas di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.
Katanya, ahli akademik, peguam dan masyarakat umum boleh mengulas penghakiman itu tetapi ia perlu menggunakan bahasa yang sederhana.
“Kami mengalu-alukan ulasan kerana kami mahu tahu pandangan golongan peguam dan pakar akademi,” katanya.