Tambang MRT tak naik, kata menteri

Tambang MRT tak naik, kata menteri

Datuk Seri Nancy Shukri berkata kerajaan akan kaji semula perkhidmatan MRT setiap 5 tahun tetapi tidak bermakna kadar tambang akan naik.

nancy-shukri_mrt_600
KUALA LUMPUR:
Kerajaan akan mengkaji semula tambang perkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT) tetapi tidak bermakna kerajaan akan menaikkan kadar tambang, kata menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata kerajaan akan kaji semula perkhidmatan itu setiap 5 tahun, tetapi mengambil kira pelbagai perkara, bukan hanya tambang saja.

“Kerajaan akan buat semakan daripada segi kerja, insurans, kos jarak yang diambil, penyelenggaraan kenderaan, penggunaan elektrik, penyelenggaraan landasan, stesen depoh dan banyak perkara lagi,” katanya dalam sesi pertanyaan menteri, di Dewan Rakyat hari ini.

Nancy berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Nurul Izzah (Lembah Pantai-PKR) yang meminta perincian penetapan struktur kadar tambang MRT serta mekanisme untuk mencapai keseimbangan kos pengangkutan awam.

Nancy mengakui, terdapat beberapa perbezaan dalam perjanjian pengangkutan awam sebelum ini yang dilihat sebagai satu kelemahan.

“Struktur kadar tambang semua perkhidmatan rel bandar berbeza-beza mengikut perjanjian konsesi masing-masing seperti LRT laluan Kelana Jaya, LRT laluan Ampang dan laluan tren komuter KTM.

“Perbezaan ini menjadikan struktur kadar tambang sebelum ini mempunyai kelemahan.

“Oleh itu, kerajaan buat penstrukturan semula kadar tambang rel bandar pada akhir tahun 2015,” katanya.

Perkhidmatan MRT Sungai Buloh-Kajang (MRT SBK) mengenakan tambang kepada pengguna pada pertengahan Januari lalu.

Perkhidmatan membabitkan fasa pertama antara stesen Sungai Buloh-Semantan melibatkan 12 stesen sejauh 21km itu mula dibuka pada 16 Disember tahun lalu dengan tambang percuma termasuk bas pengantara selama sebulan.

Ia meliputi stesen Sungai Buloh, Kampung Selamat, Kwasa Damansara, Kwasa Sentral, Kota Damansara, Surian, Mutiara Damansara, Bandar Utama, Taman Tun Dr Ismail, Phileo Damansara, Pusat Bandar Damansara dan Semantan.

Rapid Rail Sdn Bhd, mengenakan bayaran antara RM1.20 dan RM3.90 bergantung kepada jarak perjalanan di bawah struktur tambang tunai dan antara RM1.20 dan RM3.40 di bawah kaedah tanpa tunai.

Waktu operasi perkhidmatan MRT pada Isnin hingga Jumaat adalah pada pukul 6 pagi hingga 12 malam manakala Sabtu dan Ahad pada 6 pagi hingga 11.30 malam.

Tiada lagi tambang MRT percuma mulai esok

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.