
Menceritakan detik cemas berkenaan, Jumadil Rahim, 24, berkata beliau tidak sedar ketika mereka diselamatkan kerana sedang nyenyak tidur.
“Kami tidak sedar apa yang berlaku sebaik terjaga dan diselamatkan. Kami ada juga dengar bunyi tembakan…tapi kami tak tahu mereka berperang atau apa,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Ketika menceritakan detik beliau diculik di perairan Dent Haven, Lahad Datu, Sabah pada 18 Julai tahun lepas, Jumadil berkata kejadian berlaku kira-kira 8.45 pagi apabila penculik berkenaan mengacukan senapang dan merampas telefon bimbit beliau dan rakan-rakannya.
Jumadil, yang masih trauma dengan kejadian itu, berkata mereka dibawa ke satu pulau yang tidak diketahui lokasinya dan tiba di situ kira-kira 2 petang sebelum dibawa ke pulau lain pada waktu senja.
“Mereka (kumpulan penculik) kelihatan menyeramkan, bertopeng dan ada yang berambut panjang,” katanya.
Terdahulu, selain Jumadil, 2 mangsa culik kumpulan militan Abu Sayyaf, Fandy Bakaran, 27, dan Mohd Ridzuan Ismail, 33, bersama keluarga masing-masing bertemu Datuk Seri Najib Razak di kediaman perdana menteri di sini hari ini.
Ketiga-tiga mereka diselamatkan dalam satu operasi di kawasan umum Punay (Publicion) Panglima Estino, Filipina pada 11.30 malam Ahad.
Turut diselamatkan dalam operasi berkenaan pada Khamis lepas ialah Abdul Rahim Summas, 62, dan Tayudin Anjut, 45.
Kelima-lima mereka yang merupakan kru kapal tunda, diculik sekumpulan lelaki bersenjata pada 18 Julai tahun lalu.
Sementara itu, Fandy berkata semua mangsa culik hanya menjamah nasi putih berlaukkan garam sepanjang tempoh lebih 8 bulan mereka diculik selain ditugaskan memasak kepada anggota kumpulan militan itu setiap hari.
“Kami masak bagi mereka makan, kalau ada lebih baru makan kalau tidak bersabar saja… saya bayangkan nasi garam itu ibarat ayam KFC (Kentucky Fried Chicken) dan terus makan tanpa fikir apa-apa lagi,” katanya.
Ridzuan pula berkata beliau hanya mampu bertahan dan berdoa kepada Allah agar melindunginya daripada perkara yang tidak diingini sepanjang beliau berada di bawah kumpulan itu.
“Ketika kejadian, saya sedang tidur dan menyedari saya serta rakan diculik ketika berada di atas kapal penculik,” katanya.
Beliau yang mempunyai seorang anak perempuan OKU berumur 6 tahun berkata beliau syukur selepas bertemu ahli keluarganya termasuk isteri, Harianti Hamsi, 31, dan 2 lagi anak perempuannya iaitu Nur Ain Sofia, 3, dan Nur Amira Nasuha, 11 bulan.
“Sukar untuk saya gambarkan perasaan ketika bertemu mereka (keluarga) setelah 8 bulan terpisah.
“Terima kasih kepada kerajaan Malaysia dan Datuk Seri Najib atas usaha mereka menyelamatkan kami,” katanya.