KPN tepis dakwaan pihak berkuasa kelirukan Korea Utara dan Korea Selatan

KPN tepis dakwaan pihak berkuasa kelirukan Korea Utara dan Korea Selatan

Pasport yang ditemui pada mayat Kim Jong Nam "jelas Korea Utara".

khalid_kim-jong-nam_600
SUBANG JAYA: Polis menafikan dakwaan pihak berkuasa kelirukan Korea Utara dengan Korea Selatan dalam siasatan awal terhadap pembunuhan Kim Jong Nam.

“Mengarut. Kita bodoh sangat kah?” kata Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Reuters semalam menyiarkan laporan yang memetik sumber sebagai mendakwa pihak berkuasa kelirukan Republik Demokratik Rakyat Korea, nama rasmi Korea Utara, dengan Republik Korea, nama rasmi Korea Selatan.

Ini didakwa berlaku selepas pihak berkuasa memerika pasport Kim Jong Nam, selepas pembunuhannya di klia2 pada 13 Februari.

Menurut Khalid, pasport yang ditemui pada tubuh Jong Nam “jelas Korea Utara”.

Beliau menerangkan peristiwa selepas penemuan pasport, di mana polis segera menghubungi kedutaan Korea Utara mengenai pembunuhan itu. Pegawai kedutaan kemudian mengesahkan si mati sebagai Jong Nam.

“Keesokan hari, pegawai mereka kata bukan Jong Nam, tapi Kim Chol.

“Kami, sebagai profesional, mengikut identiti yang tertera pada pasport sehingga kami dapat mengesahkan identiti sebenar melalui ujian DNA, antara lain.”

Siasatan awal menunjukkan lelaki yang terbunuh selepas terkena agen saraf VX sebagai Jong Nam, yang menggunakan nama Kim Chol pada pasport.

Korea Utara enggan menerima pengesahan pihak berkuasa yang mengatakan si mati abang sebapa pemimpin Korea Utara Kim Jong Un.

Jenazah Jong Nam dihantar pulang ke Pyongyang selepas pihak berkuasa menerima surat daripada waris terdekat menuntut mayat itu.

Khalid enggan mendedahkan identiti waris tetapi dari segi undang-undang Kim Jong Un juga waris terdekat mangsa.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.