Hargai panggilan wakil negara, Khairy nasihat pemain

Hargai panggilan wakil negara, Khairy nasihat pemain

Menurut Menteri Belia dan Sukan, apabila terima panggilan untuk mewakili negara, wajar untuk pemain-pemain terbabit memenuhi permintaan pasukan kebangsaan.

Khairy-Jamaluddin_atlet-sukan-malaysia_600
BANGKOK: Panggilan untuk mewakili skuad kebangsaan adalah suatu penghormatan dan wajar dipenuhi setiap pemain, kata Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata, sesiapa sahaja pemain yang dipanggil untuk mewakili negara perlu menganggapnya sebagai satu penghormatan tertinggi.

“Apabila terima panggilan untuk mewakili negara, wajar untuk sesiapa yang menerima (panggilan itu) supaya memenuhi permintaan pasukan kebangsaan,” kata beliau kepada pemberita selepas menghadiri majlis penutup Larian Baton Bangkit Bersama di Stadium Tertutup Huamark di sini, hari ini.

Beliau ditanya hasrat 4 tonggak utama Johor Darul Ta’azim (JDT) yang mahu kembali menyarung jersi kebangsaan berikutan perubahan tampuk kepimpinan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) baru-baru ini.

Empat tonggak utama kelab itu adalah Safiq Rahim, Aidil Zafuan Abdul Radzak, S Kunanlan dan Mohd Amirulhadi Zainal, yang sebelum ini mengumumkan persaraan daripada skuad kebangsaan pada Julai 2016.

Sebagai rekod, bekas jurulatih JDT Mario Gomez dilantik sebagai jurulatih kebangsaan bagi menggantikan Datuk Ong Kim Swee, baru-baru ini.

Mengenai tindakan 4 pemain berkenaan mengumumkan persaraan daripada menyarung jersi kebangsaan tahun lepas, Khairy enggan memberi komen mengenai keputusan mereka itu.

Dalam pada itu, larian baton berkenaan adalah bersempena Sukan SEA 2017 dari 19 hingga 31 Ogos, dan Sukan Para ASEAN ke-sembilan pada 17 hingga 23 September di Kuala Lumpur.

Selepas Thailand, larian baton itu akan diadakan di Vietnam dan Timor Leste bulan ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.