Hentikan pelaksanaan GST, kata Anwar

Hentikan pelaksanaan GST, kata Anwar

Perlaksanaan GST tidak bermakna jika lebih 10% belia tiada pekerjaan dan belian makin berkurang dengan wang bernilai RM100.

anwar-gsst
PETALING JAYA: Sempena ulang tahun ke-2 pengenalan cukai barang dan perkhidmatan (GST) hari ini, pemimpin pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan cukai itu bersifat regresif iaitu memihak kepada golongan kaya dan mendera rakyat miskin.

Dalam satu kenyataan media dikeluarkan biro komunikasi PKR, Anwar berkata, GST hanya meningkatkan jurang pendapatan antara rakyat miskin dan golongan kaya.

Kata Anwar, tiada guna pendapatan GST meningkat dari tahun ke tahun jika pendapatan rakyat tidak meningkat.

“Tiada makna pelaksanaannya jika lebih 10% belia tidak boleh mencari kerja dan belia makin berkurang menggunakan wang bernilai RM100,” katanya yang mengakui pendapatan negara semakin berkurang akibat harga minyak mentah dunia tidak meningkat.

Beliau juga mengkritik amalan rasuah di Malaysia, selain ketirisan dan pembaziran daripada projek kerajaan jika ia tidak dikurangkan secara sistematik dan menyeluruh.

“Walaupun GST mampu menyumbang kepada pendapatan kerajaan, tetapi ia sebenarnya tidak membantu mencerahkan masa depan negara jika pentadbiran kerajaan tidak diperbaiki.

“Hentikan dulu amalan boros dan ketirisan yang dikenal pasti dalam laporan tahunan ketua audit negara yang dianggarkan bernilai puluhan bilion ringgit, termasuk amalan membida tanpa tender dan rasuah,” kata bekas ketua pembangkang ini, yang kini menjalani hukuman penjara.

Anwar mewakili PKR dan Pakatan Harapan berpendirian pelaksanaan GST harus dibatalkan dan menggunakan kadar sifar sementara menunggu kerajaan menghentikan amalan boros, membanteras rasuah serta merangka sistem cukai progresif yang menjaga kepentingan rakyat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.