Art Harun: Debat di Parlimen pun ancaman juga?

Art HarunPETALING JAYA: Peguam Azhar Harun berkata jika debat antara Tun Dr Mahathir Mohamad dan menteri Umno Datuk Seri Nazri Aziz boleh mengganggu ketenteraman awam, maka debat di Parlimen juga patut dianggap sebegitu.

Ini kerana debat di Parlimen boleh disaksikan secara langsung di YouTube dan dibaca secara atas talian hampir serta-merta.

“Menggunakan prinsip yang sama, kita patut batalkan semua bahas. Apa kata 50 atau 80 orang tidak suka dengan debat di Parlimen, bawa kain rentang? Ia juga boleh dianggap ancaman keselamatan.

“Kita sengaja nak paranoid. Jika debat antara individu umur 91 tahun dan Nazri ialah ancaman, makan semua yang lain juga ancaman keselamatan,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas pembatalan debat antara bekas perdana menteri itu dengan Nazri yang juga menteri pelancongan dan kebudayaan, pada 7 April di Kompleks Karangkraf, Shah Alam.

Azhar atau lebih dikenali sebagai Art Harun berkata, polis termasuk Unit Simpanan Persekutuan sebelum ini berjaya mengekalkan ketenteraman awam ketika himpunan Bersih walaupun ada ratusan ribu orang yang menyertainya.

“Kita pernah lihat polis buat kerja mereka dengan berkesan. Kita cenderung melabelkan semuanya sebagai ancaman keselamatan. Kita perlu hentikannya, kalau tidak ia tidak akan berakhir,” katanya.

Sosma tiada definisi

Azhar juga memberi contoh bagaimana Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang teruk dikritik digantikan dengan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma).

Katanya, Sosma tidak ada definisi khas terutama sekali dengan terma seperti “aktiviti menjejaskan demokrasi berparlimen” dan “cubaan untuk melakukan sabotaj”.

“Apa maksudnya itu? Maka, kita lihat Marian Chin (pengerusi Bersih 2.0) ditahan di bawah Sosma kerana aktiviti menjejaskan demokrasi berparlimen sedangkan dia berjuang untuk demokrasi berparlimen,” katanya.

Bekas presiden Majlis Peguam Malaysia Datuk Ambiga Sreenevasan menekankan isu itu dengan berkata Karangkraf, penganjur debat antara Dr Mahathir dan Nazri, selama ini sudah banyak menganjurkan debat dan forum di premis yang sama.

“Mereka menganjurkan banyak debat. Saya juga pernah dijemput dalam salah satu daripadanya, sebaik saja selepas himpunan Bersih 2 (pada 2011).

“Secara amnya, apa yang mereka (pihak berkuasa) buat tidak masuk akal. Mereka tidak boleh menyekatnya (debat) dengan tanggapan kabur yang ia ancaman keselamatan. Ia asas kebebasan bersuara,” katanya kepada FMT.

Polis pada Sabtu berkata mereka tidak membenarkan permit untuk debat itu selepas 18 laporan polis dibuat oleh penduduk sekitar berkata acara itu boleh menjejaskan keselamatan dan ketenteraman awam.

Bagaimanapun, pemeriksaan FMT mendapati tidak ada kediaman peribadi di kawasan berhampiran.

Satu-satunya bangunan kediaman yang hampir dengan Kompleks Karangkraf di Seksyen 15, Shah Alam di mana debat itu akan berlangsung ialah kuarters polis dan bomba.

Selain daripada itu, kawasan perumahan terhampir ialah di Seksyen 16, 18 dan 19, Shah Alam, dengan semuanya terletak lebih 2km dari kawasan perindustrian di mana Kompleks Karangkraf berada.

Pengarah Urusan Karangkraf Hussamuddin Yaacub sebelum ini dilaporkan berkata kepada Sinar Harian yang beliau menerima surat daripada Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Shafien Mamat berhubung pembatalan itu.

Hussamuddin terkejut kerana polis sebelum ini sudah memberikan kebenaran untuk debat itu diteruskan.