Jari, lidah termasuk ‘objek’ rogol, boleh didakwa

Jari, lidah termasuk ‘objek’ rogol, boleh didakwa

RUU meluaskan pemakaian Kanun Keseksaan ke atas bekas suami atau isteri dan memasukkan kandungan lucah atas talian sebagai perkara dilarang jual.

azalina-othman_law_child_600
KUALA LUMPUR: Kerajaan hari ini memperluaskan kesalahan seksual untuk melibatkan penggunaan lidah, jari dan mana-mana bahagian badan, selain zakar, melalui pindaan ke atas Seksyen 377CA di bawah Akta Kanun Keseksaaan atau Akta 574.

Pindaan ini sebahagian daripada rang undang-undang (RUU) meminda Akta 574 secara meluas, bagi menangani kesalahan seksual, melibatkan pindaan ke atas 9 seksyen.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said berkata dengan pindaan ini kerajaan boleh memulakan pendakwaan terhadap mana-mana kesalahan seksual melibatkan mana-mana bahagian badan di bawah seksyen tersebut.

“Pindaan ini selaras dengan keputusan Mahkamah Rayuan dalam ke atas Shafee Awang v pendakwa raya, yang menurutnya mahkamah memutuskan dan menafsirkan jari termasuk dalam takrif ‘objek’,” katanya.

RUU ini juga mahu memperluaskan pemakaian Seksyen 326A (seksaan kerana menyebabkan cedera oleh pasangan) kepada bekas suami atau isteri, kanak-kanak, orang dewasa tidak berkeupayaan atau anggota keluarga lain; dan memasukkan dokumen lucah, termasuk kandungan dalam talian, sebagai perkara dilarang jual di bawah Seksyen 292 dan 293.

Kerajaan juga mahu menjadikan hukuman sebat mandatori bagi kesalahan seksual dalam Akta 574, melalui pindaan ke atas Seksyen 376 (seksaan bagi rogol), 376B (seksaan bagi sumbang mahram), 377B (seksaan kerana melakukan persetubuhan luar tabii), 377C (melakukan persetubuhan luar tabii tanpa kerelaan) dan 377E (merangsang kanak-kanak melakukan kelucahan melampau).

Rang undang-undang ini menyusuli pembentangan RUU Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 di Dewan Rakyat 28 Mac.

RUU itu mencakupi 7 perkara iaitu pornografi kanak-kanak; pengantunan kanak-kanak (child grooming); serangan seksual fizikal dan bukan fizikal; hukuman terhadap orang yang mempunyai perhubungan amanah (seperti ahli keluarga, guru) yang terlibat atau bersubahat; dan penekanan terhadap keterangan saksi kanak-kanak.

RUU ini juga memberi perhatian kepada mereka yang membantu dalam pornografi kanak-kanak, walaupun tidak terlibat secara langsung; dan orang seperti guru dan ahli keluarga yang menyembunyikan maklumat.

“Kami akan memburu anda, tiada siapa akan terlepas,” kata Azalina.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.