Penting miliki rumah, kata peguam hartanah

Penting miliki rumah, kata peguam hartanah

Hartanah bertambah nilai manakala pembelinya memastikan waris mereka dilindungi.

pemilik-rumah
PETALING JAYA:
Sebuah pertubuhan yang menasihati pembeli rumah mengenai undang-undang hartanah hari ini mempersoalkan saranan seorang menteri supaya golongan muda mengelak daripada membeli rumah, sebaliknya menyewa supaya tidak terjebak dalam hutang jangka panjang.

Persatuan Guaman Hartanah Malaysia (HartaGuam) berkata kenyataan Menteri Kewangan II Datuk Seri Johari Abdul Ghani minggu lalu supaya rakyat berpendapatan rendah menukar cara pemikiran mereka dengan menyewa tempoh panjang seperti di beberapa negara maju, tidak mengambil kira kebaikan memiliki hartanah berbanding menyewa sepanjang hayat.

“Rumah yang dibeli sudah pasti nilainya akan bertambah dari tahun ke tahun. Dan seandainya suatu hari nanti kita bercadang untuk menjualnya, ianya akan memberi pulangan keuntungan kepada kita.

“Sedangkan sekiranya kita terus menyewa, segala bayaran sewaan tadi hanya akan menjadi milik tuan rumah sedangkan kita sendiri tidak mendapat sebarang keuntungan daripada nilaian rumah tersebut,” kata Presiden HartaGuam, Salkukhairi Abd Sukor.

Johari dalam satu program dialog pelan transformasi nasional (TN50) berkata golongan belia yang tidak mampu membeli rumah tidak perlu membuat komitmen untuk pinjaman perumahan kerana ia akan membebankan mereka.

“Kita perlu mengubah cara pemikiran. Kalau ke UK atau negara lain, mereka menyewa sehingga mempunyai wang membuat komitmen jangka panjang,” katanya.

Salkukhairi bagaimanapun berkata setiap orang perlu ada perancangan untuk memiliki rumah sendiri berdasarkan kemampuan mereka.

Katanta, dengan memiliki rumah, ia akan memastikan waris seseorang tidak perlu menanggung perbelanjaan perumahan.

Menurutnya, seseorang yang meninggal dunia sebelum melangsaikan hutang rumah juga dilindungi insurans.

“Sekiranya pembeli meninggal dunia, maka rumah tersebut akan menjadi milik waris tanpa perlu waris kita menjelaskan apa-apa bayaran pinjaman lagi kepada pihak bank.”

Tambahnya, pendapatan rendah tidak patut dijadikan alasan untuk tidak memiliki rumah.

“Dengan perancangan kewangan yang baik di samping sedikit usaha untuk menambahkan pendapatan, tidak mustahil golongan berpendapatan rendah mahupun golongan belia mampu memiliki rumah sendiri mengikut kemampuan masing-masing,” kata Salkukhairi.

Baru-baru ini, kaji selidik dijalankan portal hartanah PropertyGuru.com.my mendapati kira-kira 58% pembeli Malaysia akan membeli rumah dalam tempoh 6 bulan pertama tahun ini.

Macam bunuh diri kalau beli rumah sekarang

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.