
Alfred Gerard Eravelly membuat pengakuan itu kepada pegawai polis yang menyoal siasatnya selepas mereka bersetuju untuk tidak merakamkan soal siasat itu, lapor portal berita Perth Now.
Selepas teruk disoal siasat, Alfred memberitahu polis dia tidak gembira semasa berfantasi.
Perkara ini didedahkan pendakwa raya Mahkamah Daerah Sean Dworcan ketika perbicaraan kes itu semalam di mana Alfred didakwa merogol seorang wanita berusia 38 tahun berulang kali dengan mengacu pisau kepada mangsa, 21 tahun lalu selepas memanjat tingkap bilik mandi rumah mangsa di Perth, lapor portal berita itu.
Alfred dituduh melakukan pecah rumah, mencederakan mangsa dan 5 pertuduhan melakukan hubungan seks tanpa persetujuan.
Dworcan memberitahu mahkamah, Alfred ialah pelajar penerbangan menetap di Scarborough ketika dia ke rumah wanita itu dengan memakai sarung kaki di kepalanya dan membawa pisau serta lampu suluh.
Dia didakwa menolak mangsa sebelum menutup mata dan mengikat tangan mangsa ke belakang badannya.
Dia didakwa merogol mangsa di atas katil dan mencederakan lengan mangsa menyebabkan luka teruk, kata portal berita itu.
Dworcan memeritahu mahkamah sampel DNA yang diambil dari tempat tidur dan payu dara wanita itu akhirnya didapati sepadan dengan Alfred pada 2015, selepas teknologi DNA berkembang.
Alfred bagaimanapun terperangkap dalam pengakuan versinya di mana tertuduh berkata mereka mengadakan hubungan seks secara rela sebanyak 3 kali pada malam sebelum serangan itu dan mangsa membuat tuduhan palsu, kata Dworcan.
Peguam bela Alfred, Tom Percy berkata anak guamnya melakukan hubungan seks secara rela dengan mangsa selepas mereka bertemu di sebuah bar di Leederville.
Percy juga memberitahu mahkamah, mangsa menjemput Alfred ke rumahnya dan perbuatan mengikat tangan dan menutup mata adalah satu bentuk permainan seks untuk “membangkitkan nafsu” Alfred.
“Ini hanyalah sebahagian permainan seks pada malam itu,” lapor portal itu memetik kata Percy.
Beliau berkata anak guamnya meminta wang daripada wanita itu tetapi mangsa enggan memberinya, menyebabkan Alfred kemudian “mengugut” untuk memberitahu pasangan wanita berkenaan mengenai hubungan seksual mereka.
Percy berkata wanita itu marah dan memberitahu Alfred, “Anda celaka, saya akan buat laporan polis, anda tengok berita malam ini”.
Menurut laporan itu, Percy memberitahu mahkamah tidak ada bukti yang menunjukkan berlaku pecah masuk ke dalam rumah wanita terbabit.
Perbicaraan akan bersambung.