Rundingan China, Asean mengenai Laut China Selatan capai kemajuan

south-china-sea

MANILA: Rundingan China dan Asia Tenggara mengenai tatakelakuan di Laut China Selatan yang menjadi pertikaian mencapai kemajuan, lapor pemangku menteri luar negeri Filipina semalam.

China menuntut hampir semua laluan air itu, yang menjadi laluan barangan bernilai kira-kira AS$5 trilion setiap tahun. Brunei, Malaysia, Filipina, Taiwan dan Vietnam juga membuat tuntutan.

“Kami mencapai kemajuan yang baik dalam mewujudkan rangka kerja tatakelakuan dengan China,” kata Pemangku Menteri Luar Negeri Filipina Enrique Manalo, dan menambah Asean dan China sedang mengenalpasti isi kandungannya.

“Kita berada di tahap tinggi dari skala 1-10. Ingat, kita bermula dari 0 pada Januari. Ada beberapa perkara yang sudah dipersetujui dan pastinya kita akan memiliki 1 rangka kerja untuk memulakan rundingan mengenai tatakelakuan.”

Perunding dari China dan Asean bertemu di Indonesia dan Kemboja sejak 2 bulan lalu dalam usaha menyiapkan draf terakhir, yang mungkin akan diluluskan sebelum mesyuarat para menteri luar Asia Tenggara di Manila Ogos nanti.

Manalo berkata Manila akan mengadakan rundingan dengan Beijing bulan depan untuk menangani “isu penting mengenai Laut China Selatan”, termasuk ketenteraan China di beberapa pulau buatan di Kepulauan Spratly.

Mekanisme 2 hala salah satu daripada 2 dialog yang diadakan China dengan negara lain yang mempunyai tuntutan. Dialog lain diadakan dengan Vietnam.

Amerika Syarikat, Filipina dan Vietnam membantah ketenteraan China di Kepulauan Spratly.

Presiden Amerika Syarikat Donald Trump dan Presiden China Xi Jinping dijangka membincangkan cita-cita China di Laut China Selatan apabila mereka bertemu di pusat peranginan milik Trump di Florida esok dan Jumaat.