Pemandu treler didakwa pandu laju sebabkan kematian 6 sekeluarga

trelar-gavelKUALA KUBU BHARU: Seorang pemandu treler didakwa di Mahkamah Majistret hari ini atas pertuduhan memandu laju sehingga menyebabkan kematian 6 sekeluarga, berhampiran susur keluar Tanjung Malim, Perak, Ahad lepas.

Muhammad Syahrul Nizam Anuar, 27, yang memakai baju T lengan panjang biru dan seluar jeans, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Hakim Zulhelmy Hasan yang bertindak sebagai majistret.

Ketika ditanya jurubahasa sama ada tertuduh faham pertuduhan itu, lelaki itu yang kelihatan tenang mengangguk kepalanya dan berkata “tak mengaku”.

Tertuduh didakwa sebagai seorang pemandu treler nombor pendaftaran KDY 1314 memandu kenderaan tersebut di atas jalan raya dengan cara laju sehingga menyebabkan kematian 6 sekeluarga.

Mereka ialah Lam Wai Loon, 46, pemandu kenderaan; isterinya, Wong Cheq Lee, 53; 2 anak lelaki mereka, Lam Jie Yang, 19, dan Lam Jie Hong, 13; adik lelaki Wai Loon, Lam Wei Keat, 35; serta bapanya, Lam Leong Choy, 76.

Lelaki itu dituduh melakukan kesalahan itu di KM 403.2, Lebuhraya Utara Selatan, arah Utara, pada 7.46 pagi, 2 April lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda sehingga RM20,000, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Amin Azmi menawarkan wang jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin dan tertuduh juga perlu menyerahkan lesen memandu kepada mahkamah.

Zulhelmy membenarkan tertuduh yang tidak diwakili peguam, diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan lesen memandu tertuduh diserahkan kepada mahkamah sehingga kes itu selesai.

Mahkamah menetapkan 4 Mei ini untuk sebutan semula kes bagi membolehkan tertuduh melantik peguam dan menetapkan perbicaraan selama 3 hari bermula 21 Ogos ini.

Media sebelum ini melaporkan dalam kejadian itu, treler yang dipandu tertuduh didakwa hilang kawalan dan melanggar kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dinaiki 6 sekeluarga itu yang dipercayai menuju ke Bidor, Perak bagi menziarahi kubur nenek moyang mereka.

Menurut seorang ahli keluarga mangsa yang enggan dikenali, keluarga itu yang tinggal di ibu negara sepatutnya menyertai Festival Cheng Beng (tradisi menziarahi kubur nenek moyang) bersama saudara-mara.