Ibu saman polis, warden selepas kematian anak

gavel-manPETALING JAYA: Ibu bapa seorang pekerja kilang, Kamarulnizam Ismail yang meninggal dunia semasa dalam tahanan menyaman kerajaan Malaysia hari ini.

Bulan lalu, ibu mangsa, Rahaya Salleh, 67, memfailkan saman terhadap kerajaan di Mahkamah Tinggi Ipoh kerana kecuaian dan serangan.

Peguam M Visvanathan yang mewakili Rahaya berkata, saman termasuk tuntutan misfeasans terhadap pegawai kanan polis dan pegawai penjara.

12 individu dan kerajaan Malaysia dinamakan sebagai defendan.

Tiga tahun lalu, Kamarulnizam dijatuhkan hukuman denda RM800 atau penjara 2 minggu oleh Mahkamah Majistret selepas mengaku bersalah melakukan kesalahan di bawah Kanun Keseksaan dan Akta Kesalahan Kecil.

Bapanya Ismail Ahamad, 78, tampil ke mahkamah Bukit Mertajam untuk menyelesaikan denda tetapi Kamarulnizam bertegas mahu menjalani hukuman penjara kerana hendak menggunakan wang tersebut membaiki keretanya.

Kamarulnizam tidak akan pulang kepada mereka. Ismail dan Rahaya mengambil mayat anak mereka dari bilik mayat Hospital Tapah pada Mac 2014.

“Mangsa masih bujang dan berumur 39 tahun. Ibu bapa mangsa bergantung kepada pendapatannya untuk sara hidup,” kata Visvanathan kepada FMT.

Beliau berkata, mangsa bekerja sebagai pekerja am di kilang menapis gula di Pulau Pinang dan memperoleh pendapatan RM2,500 sebulan.

Dalam penyataan tuntutannya, Rahaya berkata anaknya itu menyumbang RM1,300 sebulan kepada mereka.

Peguam itu berkata, Pesuruhjaya Kehakiman Anselm Fernandis memberi tempoh kepada kerajaan sehingga 15 Mei ini untuk memfailkan pembelaan.

Peguam Persekutuan Fatin Hanim Abdul Hadi mewakili kerajaan semasa pengurusan kes awal minggu ini di Ipoh.

Dalam tuntutan itu, Rahaya berkata anaknya ditangkap polis pada 22 Februari 2014 bersama 3 yang lain.

Beliau mendakwa Kamarulnizam diserang 3 anggota polis semasa dalam tahanan di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Bukit Mertajam.

Selepas keputusan mahkamah, mangsa dihantar ke Penjara Tapah di Perak dan menjalani hukuman penjara pada 3 Mac 2014.

Rahaya berkata, pada 7 Mac Dr Chua Cheng Hoi @ Chua Eng Hoi memberi ubat cirit-birit kepada Kamarulnizam tetapi pagi berikutnya Kamarulnizam ditemui tidak sedarkan diri di dalam sel.

Beliau dikejarkan ke Hospital Tapah tetapi disahkan meninggal dunia jam 7.30 pagi, 8 Mac 2014.

Rahaya berkata 3 warden penjara turut dimasukkan ke dalam saman itu kerana mereka gagal meronda sel untuk memastikan keselamatan dan kebajikan anaknya.

“Jabatan Penjara cuai menguruskan keperluan perubatan Kamarulnizam walaupun terdapat klinik panel dan kakitangan terlatih,” katanya.

Rahaya mendakwa anaknya diserang kerana terdapat kesan kecederaan pada tubuhnya.

Beliau mempersoalkan laporan bedah siasat menunjukkan anaknya meninggal dunia akibat jangkitan paru-paru kerana menurutnya Kamarulnizam seorang yang sihat.