RUU 355: Wee Ka Siong tak bertanggungjawab, kata DAP

teresa-kok-wee-ka-siong-3

PETALING JAYA: Teresa Kok membidas dakwaan MCA yang ahli Parlimen DAP gagal menentang Datuk Seri Abdul Hadi Awang membentangkan usul rang undang-undang persendirian untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau RUU 355 di Dewan Rakyat, Khamis lalu.

Naib pengerusi DAP itu menyifatkan kenyataan Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong sebagai tidak bertanggungjawab dan tidak berasas.

Katanya, ahli Parlimen DAP sudah bersedia menyatakan pendirian mereka terhadap RUU 355 ketika perbahasan dan pengundian diadakan.

“Kami tidak menjangkakan speaker tidak membenarkan perbahasan dan tiba-tiba menangguhkan persidangan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

“Debat itu tidak bermula dan kami dihalang daripada menyuarakan pandangan serta pendirian kami. Jadi, bagaimana Wee boleh tuduh kami melakukan sedikit untuk menentang RUU itu?”

Semalam, Wee yang juga menteri di Jabatan Perdana Menteri, mendakwa ahli Parlimen lebih berminat mempublisitikan diri di Facebook selepas RUU 355 dibentangkan presiden PAS itu.

“Daripada membantah RUU persendirian di Dewan Rakyat, ahli Parlimen DAP hanya melakukan ‘FB Live’ untuk menarik lebih banyak ‘like’ di koridor bangunan Parlimen,” kata Wee dalam satu kenyataan.

“Ini menunjukkan DAP berbakat dalam menggunakan media sosial untuk mengalihkan perhatian rakyat daripada kegagalan mereka untuk menghalang PAS membentangkan pindaan cadangan kepada Akta 355.”

Ahli Parlimen Ayer Hitam itu juga menyatakan Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan yang juga ahli Parlimen Kota Bharu, ketika menyampaikan ucapannya sebagai penyokong RUU 355, pemimpin DAP Lim Kit Siang dan Karpal Singh tidak membantah apabila akta sama dipinda di Parlimen pada 1984 dan 1989.

Wee berkata, malah anak Kit Siang – Guan Eng dan 2 anak Karpal – Gobind dan Ramkarpal, sekadar mendiamkan diri ketika pembentangan RUU 355 pada Khamis lalu.

“Daripada membantah rang undang-undang persendirian di rumah, Ahli Parlimen DAP hanya melakukan ‘FB Live’ untuk menarik lebih banyak ‘like’ di koridor bangunan Parlimen,” Wee berkata dalam satu kenyataan.

“Ini menunjukkan DAP adalah berbakat dalam menggunakan media sosial untuk mengalihkan perhatian rakyat daripada kegagalan mereka untuk mencegah PAS daripada membentangkan cadangan pindaan kepada Akta 355.”

“Walaupun MCA hanya mempunyai 7 ahli Parlimen berbanding DAP 36 orang, 2 penyokong kerajaan kami berdiri dan melemparkan soalan terhadap RUU persendirian Hadi.”

Wee juga berkata, keputusan Speaker, Tan Sri Pandikar Amin Mulia membenarkan Hadi membentangkan RUU tidak ada kena-mengena dengan pengaruh politik.

Kok hari ini mendakwa terdapat tanda jelas wujud konsensus BN untuk membenarkan usul membentangkan RUU itu.

“Jika tiada konsensus BN mengenai pembentangan itu, ahli Parlimen MCA sepatutnya keluar dari Parlimen untuk menyuarakan bantahan tegas mereka, tetapi semua ahli Parlimen MCA mendiamkan diri.

“Serangan panjang Wee terhadap DAP tidak boleh menyembunyikan hakikat MCA gagal menghalang usul membentangkan RUU 355, sama ada wujud konsensus BN untuk membenarkannya.”

Ahli Parlimen Seputeh itu turut mendakwa MCA mempamerkan sifat politik “kepala harimau dan ekor ular” dengan berkompromi kepentingan rakyat dan hak untuk kekal dalam BN.

RUU 355 mencadangkan hukuman penjara ke atas pesalah syariah ditambah kepada 30 tahun, denda maksima RM100,000 dan sebat 100 kali berbanding maksimum 3 tahun penjara, denda RM5,000 dan 6 sebatan yang boleh dijatuhkan Mahkamah Syariah ketika ini.

Pandikar menangguhkan perbahasan dan pengundian RUU 355 ke Dewan Rakyat yang dijadualkan bersidang semula pada 24 Julai nanti.

Jangan permainkan Islam, amaran Hadi kepada pengkritik RUU 355