Kalau selamat, bina menara di rumah menteri, kata DAP

Violet-Yong-Wui-WuiKUCHING: Pemimpin DAP mencadangkan menara telekomunikasi didirikan berhampiran rumah pemimpin Barisan Nasional (BN) Sarawak, berikutan pengumuman 3,800 menara baru akan dipasang seluruh negeri itu.

Ahli Dewan Undangan (Adun) Pending, Violet Yong Wui Wui hari ini berkata itu caranya meyakinkan orang ramai tentang keselamatan menara itu seperti didakwa pihak berkuasa.

“Jika menteri dakwa menara selamat, saya cadangkan ia diletakkan di perkarangan rumah mereka untuk menjadi contoh.

“Selepas itu orang ramai yakin dengan keselamatan menara dan mereka tidak akan merungut kerana menara juga ada sebelah rumah pemimpin mereka,” katanya dalam satu kenyataan.

Minggu lalu, Ketua Menteri Sarawak Datuk Abang Johari Openg mengumumkan jumlah menara akan meningkat daripada 1,200 kepada 5,000 tiang, sebahagian daripada pelan menaik taraf infrastruktur ICT negeri itu yang bernilai RM1 bilion.

DAP mengkritik pelan itu termasuk tindakan hanya menawarkan kontrak tersebut kepada satu syarikat, Sacofa Sdn Bhd.

Sacofa ditubuhkan pada 2001, syarikat yang diperbadankan sebagai sebuah badan kawal selia yang dimiliki sepenuhnya kerajaan Sarawak.

Sacofa berkata pelepasan frekuensi radio (RF) daripada menara adalah 790 kali lebih rendah daripada tahap maksimum dibenarkan untuk keselamatan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), dan menegaskan semua piawaian antarabangsa dipatuhi.

Bagaimanapun, Yong berkata penduduk mengambil berat isu kesihatan dan bimbang bayi dan kanak-kanak mungkin terdedah kepada pendedahan jangka panjang terhadap pelepasan RF.

Beliau berkata, penduduk juga mengadu tentang nilai hartanah mereka terjejas disebabkan menara telekomunikasi setinggi 30 meter itu.

“Selama ini Sacofa mendakwa melalui iklan, mereka akan berhubung dengan orang ramai dan menghormati permintaan mereka dalam pembinaan menara ini.”

“Tapi setakat ini, apa yang mereka lakukan sebaliknya, mereka tidak berhubung dengan penduduk,” katanya.

Yong mendakwa Sacofa membina menara di kawasan perumahan Taman Supreme, Taman Traffic Kenyalang dan kawasan SK Bintawa bertentangan dengan permintaan penduduk.

“Walaupun kuasa pembangkang kuat di sana tapi penduduk dibiarkan dan diranapkan keseluruhannya,” katanya.

Yong juga menggesa kerajaan negeri mengisytiharkan lokasi tertentu untuk 3,800 menara yang dirancang dibina seluruh negeri.

Pada 2002, Sacofa diberikan konsesi 20 tahun oleh kerajaan Sarawak untuk membina, mengurus, memajak dan mengekalkan menara telekomunikasi di negeri ini.

Ia memajak menara untuk Celcom, Digi, Maxis dan lain-lain syarikat telekomunikasi tempatan.

Undang-undang Sarawak kemudiannya dipinda untuk memberi Sacofa kuasa menyelia dan mengawal infrastruktur ICT.

Ini menyebabkan syarikat itu terlibat dalam pembinaan menara komunikasi dan kemudahan ICT yang lain seperti rangkaian kabel gentian optik bawah tanah.

Pada 2015, kerajaan menjual 50% pegangan dalam Sacofa kepada Kumpulan Cahaya Mata Sarawak (CMS) sebanyak RM180 juta dengan transaksi itu siap tahun berikut.

Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen mendakwa pada 5 April lalu, pelan pembangunan yang baru diumumkan itu di bawah nilai pasaran dan Sacofa cuba “mencari penyewa dan ada unsur mencari keuntungan”.

Beliau juga menggesa kuasa pengawal selia Sacofa dan dakwaan monopoli projek infrastruktur ICT perlu dihapuskan.

Beliau juga menggesa pelantikan agensi kerajaan mengendalikan keseluruhan perancangan dan proses tender bagi projek infrastruktur ICT, di bawah pengawasan jawatankuasa yang dipilih negeri daripada kedua-dua pihak dalam Dewan Undangan Negeri.

Pengurus Hal Ehwal Korporat Sacofa, Mohamad Sait memberitahu FMT pengurusan firma akan menyiasat kenyataan Chong tidak lama lagi.

“Buat masa ini, pembinaan belum dimulakan,” katanya.