Adam Rosly direman 5 hari dakwaan banglo, kereta mewah

adam-rosly-sprmPUTRAJAYA: Ketua Pemuda PKR Ampang, Datuk Adam Rosly hari ini direman 5 hari bagi membantu siasatan berhubung dakwaan kekayaan luar biasa termasuk sebuah banglo mewah.

Majistret Nik Isfahanie Tasnim Wan Ab. Rahman memenuhi permintaan SPRM itu di Mahkamah Majistret di sini, bagi menyiasat Adam di bawah Seksyen 14(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

Adam, 28, menjadi sasaran Ketua Umno Sungai Besar Datuk Seri Jamal Yunos dengan mempersoalkan kekayaan “luar biasa” Adam.

November lalu, Jamal membawa beberapa wartawan menaiki helikopter untuk meninjau banglo mewah milik Adam, sambil mempersoalkan sumber “kekayaan luar biasa” pemimpin PKR itu.

Susulan itu, Ketua Bahagian Umno Ampang Datuk Ismail Kijo membuat laporan kepada SPRM.

Adam hari ini tiba berpakaian lokap dengan tangannya bergari, ditemani anggota keluarga serta sekumpulan penyokong.

Beliau ditahan apabila hadir di ibu pejabat SPRM petang semalam bagi memberi keterangan berhubung siasatan itu.