Jika ke India saya akan diseksa, dakwa Zakir

zakir-naik-india-1

KUALA LUMPUR: Pendakwah kontroversi dari India, Dr Zakir Naik hari ini menyuarakan kesediaan memberi keterangan kepada mahkamah di India berhubung dakwaan ceramahnya menyebarkan propaganda pengganas tetapi dengan bersyarat.

Salah satu syarat, keterangan itu hanya akan diberikan melalui aplikasi Skype, telefon atau televideo.

“Saya dah beritahu yang saya sedia memberi keterangan melalui Skype, telefon atau televideo. Jika saya pergi ke sana (India) mereka akan seksa saya. Jadi, apa gunanya saya pergi ke sana?

“Mereka sudah melakukan (penyeksaaan) kepada umat Islam lain, saya ada bukti,” dakwanya pada sidang media selepas majlis Ijtimak 150 Cendekiawan Islam Malaysia Bersama Dr Zakir Naik: Menangani Islamofobia anjuran Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) di sini, hari ini.

Baru-baru ini, Agensi Siasatan Negara India (NIA) memohon Interpol mengeluarkan notis merah terhadap Zakir bagi menghalang beliau keluar dari Arab Saudi, selepas berulang kali ingkar memberi kerjasama terhadap siasatan ke atasnya.

Menurut laporan The Times Of India, Zakir kerap datang ke Malaysia dan Indonesia dari Arab Saudi, di mana beliau melarikan diri daripada siasatan ke atas dirinya dan NGO beliau – Yayasan Penyelidikan Islam yang diharamkan India kerana mengadakan aktiviti didakwa berkaitan keganasan.

Mengulas lanjut, Zakir turut mempersoalkan mengapa beliau perlu pulang ke India sedangkan dunia kini mempunyai teknologi komunikasi canggih.

“Itu bermakna mereka mempunyai motif tertentu. Mereka kata mahu bercakap secara peribadi, mereka menunjukkan ‘double standard’. Siasatan ini menunjukkan mereka penakut dan tidak mempunyai keberanian.

“Jika mereka mahu, boleh datang sini untuk berbincang di tempat berkecuali,” katanya.

Sementara itu, mengulas tindakan Pengerusi kumpulan hak asasi kaum India, Hindraf,  P Waythamoorthy bersama 18 individu lain memfailkan saman terhadap kerajaan Malaysia di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur atas dakwaan melindungi beliau, Zakir berkata, tidak perlu membazir masa bercakap mengenai NGO itu.

“Membazir masa cakap pasal Hindraf. Mereka sepatutnya tidak diberikan publisiti.”

Jika India nak dakwa, buat di mahkamah Malaysia, kata Zakir Naik

Pihak berkuasa India panggil soal siasat Zakir Naik