Nur Jazlan: Kerajaan tak ambil tindakan kartun monyet Nanyang

nur-jazlan-nanyangPETALING JAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) sudah menerima penjelasan dan permohonan maaf yang dikemukakan akhbar Nanyang Siang Pau berhubung penerbitan kartun monyet yang mencetuskan kemarahan PAS, kata Datuk Nur Jazlan Mohamed.

“KDN tidak akan mengambil tindakan terhadap akhbar berkenaan berhubung perkara itu,” kata ahli Parlimen Pulai itu dipetik China Press dan Nanyang Siang Pau ketika merasmikan sebuah majlis di Taman Bukit Indah, Gelang Patah, Johor, malam tadi.

Beliau yang juga timbalan menteri dalam negeri itu berkata, KDN akan mengambil tindakan lebih tegas terhadap pihak yang melakukan perbuatan sama pada masa akan datang.

“Kita tidak boleh menyakitkan hati orang lain dan kemudian meminta maaf.”

Beliau berkata demikian susulan penerbitan kartun mempersendakan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Pada 8 April lalu, ruang kartun akhbar berbahasa Cina itu memaparkan seekor monyet bersongkok dilabel sebagai “speaker” dan seekor lagi memakai serban dinamakan “Hadi Awang” bertenggek di sebatang pokok “Akta 355”, merujuk rang undang-undang persendirian Hadi untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965.

“Hadi Awang” dipaparkan dengan memegang sebatang tongkat sakti sambil mahu menikmati juadah “keledek panas”, manakala “speaker” melompat dari pokok itu, sambil berkata: “Simpan untuk hari kemudian”, sambil sekumpulan monyet bertekak di bawah pokok berkenaan.

Tindakan itu menimbulkan kemarahan PAS sehingga mengadakan demonstrasi di ibu pejabat akhbar itu keesokannya dengan menyatakan 4 tuntutan, antaranya memohon maaf secara terus kepada Hadi.

Nanyang kemudian membuat permohonan maaf secara terbuka kepada Pandikar dan Hadi di akhbarnya, serta mengeluarkan kartun itu dari laman webnya, eNanyang.my.

Walaupun dengan permohonan maaf itu, PAS melalui Setiausaha Agungnya, Datuk Takiyuddin Hassan berkata mereka mungkin menyaman akhbar itu dan mendesak KDN mengkaji semula permit penerbitannya.

 

KDN beri Nanyang surat tunjuk sebab, panggil ketua pengarang