Perkasa kurnia anugerah pahlawan kepada Zakir Naik

perkasa-zakir-naikKUALA LUMPUR: Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) hari ini mengurniakan Anugerah Bintang Pahlawan Pribumi Perkasa Negara kepada pendakwah kontroversi dari India, Dr Zakir Naik atas sumbangannya terhadap perjuangan Islam.

Anugerah itu disampaikan Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali pada majlis Ijtimak 150 Cendekiawan Islam Malaysia Bersama Dr Zakir Naik: Menangani Islamofobia anjuran NGO itu di Rumah Kelab Alumni Universiti Malaya, hari ini.

Ibrahim mengalungkan selempang tertera anugerah itu dan memakaikan songkok kepada Zakir yang merupakan ikon antarabangsa pertama menerima anugerah tertinggi Perkasa itu.

Sebelum ini, Perkasa pernah mengurniakan anugerah sama kepada bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan bekas menteri penerangan, Tan Sri Zainuddin Maidin.

Pada masa sama, Perkasa turut memberi taraf ahli kehormat kepada Zakir yang pernah dianugerahkan Tokoh Maal Hijrah peringkat Kebangsaan 1435/2013M pada November 2013.

Dalam pada itu, Ibrahim menggesa Pengerusi kumpulan hak asasi kaum India, Hindraf, P Waythamoorthy bersama 18 individu lain membatalkan saman yang difailkan terhadap kerajaan Malaysia atas dakwaan melindungi Zakir.

“Saya harap Hindraf dapat memadamkan persepsi negatif terhadap syarahan Zakir tentang Islam, serta Waythamoorthy dan 18 yang lain dapat menarik balik kes mereka terhadap Zakir yang sudah difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.”

Pada 14 Mac lalu, Perkasa memfailkan permohonan untuk menjadi pencelah dalam saman pemula dikemukakan 19 individu terhadap kerajaan Malaysia atas dakwaan melindungi Zakir.

Ibrahim mendakwa Zakir ialah tokoh Islam antarabangsa yang mempunyai reputasi baik dan tidak adil untuk 19 individu memberi gambaran negatif mengenai beliau.

Katanya, tidak salah untuk Zakir membuat perbandingan antara Islam dan agama lain dalam ceramahnya.

 

Perkasa mahu jadi pencelah saman Zakir Naik