Melaka Gateway bukan macam litar Sepang, ketua menteri jawab Dr M

Melaka-Gateway,-China,-Idris-Haron,-Dr-Mahathir,-PelabuhanPETALING JAYA: Ketua menteri Melaka mempersoalkan kritikan Tun Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini terhadap Melaka Gateway, projek bersama syarikat milik negeri dengan China bernilai RM43 bilion, dengan berkata ia bukan menggunakan wang negara seperti perlumbaan Formula 1.

“Tidak seperti projek Litar Sepang yang menggunakan pembiayaan domestik, projek-projek pelaburan asing seperti pelabuhan Melaka ini melihat teras ekonomi yang berterusan untuk tempoh sedekad akan datang,” kata Datuk Seri Idris Haron dalam kenyataan dipetik Utusan Malaysia.

Dr Mahathir merupakan penggerak utama pembinaan Litar Antarabangsa Sepang (SIC), dalam usaha membawa masuk siri Formula One Grand Prix dan MotoGP setiap tahun sejak 1999.

Awal bulan ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengesahkan Malaysia tidak akan lagi menjadi tuan rumah perlumbaan antarabangsa itu.

“Kerajaan terpaksa menanggung kos penganjuran yang sangat tinggi setiap tahun. Namun begitu, pulangan daripada menganjurkan kejohanan ini semakin berkurangan dari segi penonton, pengunjung dan jumlah kedatangan pelancong asing semasa perlumbaan berlangsung sejak beberapa tahun yang lalu,” kata Najib.

Dr Mahathir baru-baru ini dipetik The South China Morning Post mempersoalkan keperluan projek Melaka Gateway.

“Kita mempunyai kemudahan mencukupi di negara ini. Kita sudah ada pelabuhan mencukupi dan infrastruktur diperlukan untuk menarik pelancong. Ini (Melaka Gateway) tidak perlu,” kata pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia itu.

Antara projek utama Melaka Gateway ialah pelabuhan laut dalam yang bakal memberi saingan baru kepada Singapura.

Dilancarkan pada 2014, projek itu adalah usaha sama KAJ Development Sdn Bhd milik kerajaan Melaka dan syarikat jana kuasa gergasi PowerChina International, membabitkan sebuah terminal pelayaran dan kawasan dermaga pada fasa pertama, termasuk hotel dan sebuah roda gergasi pemerhatian.

Dr Mahathir sebelum ini menentang beberapa projek yang melibatkan China, dengan berkata ia memberi kesan kepada kedaulatan negara.

Ini termasuk kritikannya terhadap projek Forest City bernilai RM100 bilion di Johor, yang menurutnya akan hanya membawa kebanjiran masuk rakyat China di saat orang tempatan tidak mampu memiliki rumah.

Idris berkata beliau hairan mengapa bekas perdana menteri yang pernah menggalakkan polisi Pandang Ke Timur kini menentang penglibatan China.

“Saya sedar projek mega ini akan berdepan dengan pelbagai kritikan tetapi bukanlah sesuatu dakwaan itu datangnya daripada seseorang yang bertanggungjawab dalam mempopularkan polisi Pandang ke Timur serta Wawasan 2020 untuk kebaikan negara ini,” katanya.

“Ketika ini, penanda aras yang terbaik adalah China. Jangan lupa, kita pernah dikenali sebagai sebuah pelabuhan yang terbaik pada abad ke-14 dan saya percaya dengan adanya projek ini, kegemilangan pelabuhan Melaka bakal kembali,” katanya.

 

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2017/04/16/dr-m-kerajaan-serah-kedaulatan-kepada-china-melalui-melaka-gateway/