Pakar cadang gabung sekolah pelbagai aliran jadi satu aliran

Dr-Teo-Kok-Seong-1

PETALING JAYA: Seorang pendidik berpendapat penggabungan sekolah kebangsaan, jenis kebangsaan dan agama adalah cara terbaik untuk meningkatkan penguasaan bahasa Melayu dan menggalakkan perpaduan di kalangan rakyat berbilang bangsa.

Felo utama Institut Kajian Etnik (Kita) di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Teo Kok Seong berkata, beliau menjangkakan sistem sekolah satu aliran yang akan menggabungkan program akademik, vernakular dan pengajian agama.

Katanya, beliau sedar ramai yang menentang cadangan itu.

“Mereka menentang kerana kurang kepercayaan antara kaum di Malaysia,” katanya kepada FMT.

“Orang Cina berpendapat jika ia baik untuk orang Melayu, ia adalah buruk buat mereka. Jika ia baik untuk orang Cina, ia tidak baik bagi orang Melayu.

“Tetapi, kenapa kita tidak percaya satu sama lain? Ini kerana kita tidak bercampur dengan satu sama lain. Orang Melayu ke sekolah agama, orang Cina ke sekolah Cina dan orang India ke sekolah Tamil. Pemisahan etnik ini bermula dari tadika lagi.

“Apabila mereka masuk tingkatan 1 di sekolah kebangsaan, mereka tidak dapat bercampur, ia sudah terlambat dan mereka kekal terasing.”

Teo mengulas pengumuman Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid baru-baru ini, kementeriannya akan mencari jalan mempertingkatkan program dan sukatan pelajaran untuk memperbaiki integrasi nasional.

Mahdzir berkata, kementerian juga mencari jalan meningkatkan penguasaan bahasa Melayu melalui program kebangsaan.

Bagaimanapun, Teo mengimbau kembali bantahan sekolah Cina terhadap cadangan sebuah kementerian untuk menambah masa kelas bahasa Melayu, pada 2011 dan 2012.

“Sekolah vernakular mahu terus mengajar bahasa Melayu ringkas berbanding sekolah kebangsaan, yang menyukarkan pelajar Cina dan Tamil menghadapi pembelajaran di tingkatan satu,” katanya.

Menjelaskan cadangan sistem sekolah satu aliran dan 3 komponennya, beliau berkata, komponen akademik meliputi mata pelajaran Matematik, Sains, bahasa Inggeris, bahasa Melayu, Sejarah dan Geografi.

Beliau mencadangkan komponen vernakular diperluaskan untuk merangkumi pelbagai bahasa yang dituturkan rakyat Malaysia, bukan hanya Mandarin dan Tamil yang kini diajar di sekolah vernakular.

“Macam mana dengan Siam, Punjabi, Orang Asli, Telugu, Malayali dan Portugis? Semua orang mahu budaya mereka diajar kepada anak mereka,” katanya.

Teo mencadangkan semua pelajar Islam diwajibkan mengambil program pengajian Islam.

“Sekarang, ibu bapa Islam mengambil anak mereka dari sekolah kebangsaan dan menghantar mereka ke kelas agama tambahan.

“Kita boleh menggabungkan kelas itu dengan melanjutkan waktu persekolahan hingga 3.30 petang. Kanak-kanak boleh makan tengah hari di sekolah.”

Beliau berkata, kementerian juga boleh memperkenalkan kelas agama Hindu, Sikh, Kristian dan Buddha.

“Kita perlu terbuka kepada perkara ini demi masa depan negara. Berbanding sekolah pelbagai aliran, kita boleh gabungkan 3 komponen itu dalam sekolah satu aliran demi perpaduan.”

Ketika ini, katanya, terdapat 10,000 sekolah sesi pagi dan 2,000 sekolah sesi pagi dan petang, tetapi dalam tempoh 5 tahun lagi, 2,000 sekolah itu boleh ditukar kepada sekolah sesi pagi sahaja.

“Apabila semua sekolah menjadi sesi pagi, kementerian boleh memperkenalkan sekolah satu aliran untuk kebaikan negara,” katanya.