Peguam bangkit coretan ‘rindu tanah Syam’ oleh Siti Aishah

Siti-Noor-Aishah_law_isis_600

KUALA LUMPUR: Pihak pendakwaraya dalam kes membabitkan Siti Noor Aishah Atam, yang dituduh mempunyai kaitan dengan kumpulan militan, hari ini membangkitkan tulisan tangan dalam salah sebuah daripada 12 buku yang dirampas polis.

Peguam pendakwaraya Mohd Mustaffa P Kunyalam mempertikaikan hujah peguambela Aishah yang beliau tidak mengetahui isi kandungan buku berkenaan yang mempromosikan kumpulan militan.

Mustaffa juga mempersoalkan alasan Aishah yang buku tersebut digunakan bagi tujuan pengajiannya di Universiti Malaya.

“Dalam rekod Universiti Malaya, tiada rekod yang menyatakan dia menyambung pengajiannya, malah tajuk tesis juga tidak didaftar,” katanya dalam Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

Beliau mengingatkan yang ayah Aishah, Atam Jusoh, sendiri membuat laporan polis kerana bimbang anaknya ingin berjihad di Syria.

“Kredibiliti Aishah dicabar apabila satu laporan polis dibuat bapanya terhadapnya.

“Malah dalam buku berjudul ‘Merentas Jalan Jihad Fisabilillah’ juga terdapat tulisan tangan Aishah yang nyatakan ingin berjihad dan ingin ke Syam.

“Aishah menulis, ‘…ketahuilah, aku amat rindu dengan tanah Syam yang engkau berkati kerana di situlah syiar akan tertegak,” kata Mustaffa.

Mahkamah di bawah hakim Datuk Mohamad Shariff Abu Samah hari ini menetapkan 2 Mei untuk memutuskan sama ada Aishah bersalah di bawah Seksyen 130JB Kanun Keseksaan dan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma), kerana memiliki 12 buku yang mempromosikan dakyah dan idea kumpulan militan.

Perlu ada pakar

Sebelum itu, peguambela Siti Aishah, Mohd Kamaruzaman Abd Wahab berkata Aishah tidak bersalah dan hanya memiliki buku itu untuk tujuan kajiannya.

“Aishah hadir ke kelas dan tamatkan semester pertamanya, tetapi semester keduanya dia tidak berbuat demikian kerana tidak cukup duit, jadinya Aishah bekerja untuk biayai pengajian.

“Dalam kes ini, apa yang dibawa pihak pembelaan adalah menafikan Aishah mengetahui 12 buah buku itu dikaitkan dan mempunyai kaitan rapat dengan pengganas,” katanya.

Siti Aishah hari ini hadir dengan berbaju kurung berwarna kelabu, dan duduk di kandang tertuduh.

Kamaruzaman berkata, mahkamah memerlukan 3 pakar untuk menentukan bahawa buku dimiliki Aishah mempunyai kaitan dengan pengganas.

“Bayangkan orang awam di luar sana, macam mana dia hendak tahu buku ini pengganas atau tidak. Ia seolah-olah kena perkenalkan undang-undang kalau hendak beli buku yang tidak ketahui kandungannya kena tanya pakar.

“Dia (Aishah) mesti tahu bahawa memiliki buku itu suatu kesalahan, tetapi dalam kes ini jelas Aishah tidak tahu,” katanya, sambil berkata Aishah tidak pernah membaca hampir keseluruhan buku berkenaan.

Kamaruzaman berkata elemen “pengetahuan” adalah penting dalam kesalahan ini dan jelas dalam hujah Aishah bahawa beliau memiliki 12 buku itu untuk tujuan kajian tesisnya.

“Buku-buku ini juga tidak diharamkan oleh Kementerian Dalam Negeri dan ada antaranya diterbitkan syarikat tempatan,” katanya.

12 judul

Siti Aishah pertama kali ditahan di bawah Sosma pada Mac 2016, ketika polis menemui 12 buku berkenaan.

Antara judul buku itu ialah “Visi Politik Gerakan Jihad”, “Generasi Kedua Al-Qaedah: Apa Dan Siapa Zarqawi Apa Rencana Mereka Ke Depan”, “Dari Usama Kepada Para Aktivis”, “Dari Rahim Ikhwanul Muslimin Ke Pangkuan al-Qaeda” dan “Ketika Maslahat Dipertuhankan dan Menjadi Taghut Model Baru”.

Pada April 2016, Aishah didakwa di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur dan mengaku tidak bersalah memiliki buku berkenaan.

Selepas penangkapannya, dia dipecat UM kerana gagal menghadiri kelas. Ketika itu beliau mengambil jurusan dalam bidang Usuluddin.

Pada September tahun lalu, Mahkamah Tinggi membebaskan Aishah daripada semua pertuduhan atas alasan tiada kes prima facie dibuktikan terhadapnya.

Pada hari sama dibebaskan, dia ditangkap semula di bawah Akta Pencegahan Jenayah (Pindaan dan Pemerluasan) 2014 atau Poca, selama 60 hari.

Sebaik dibebaskan, beliau diletakkan di bawah tahanan rumah, dengan peranti pengawasan elektronik dipasang, untuk memastikan beliau tidak meninggalkan daerah Surah di Dungun, Terengganu, tanpa kelulusan polis.

Aishah ditangkap semula di bawah Sosma dan ditahan di penjara Kajang sejak 29 Mac.

Siapa dan apa di sebalik buku milik Siti Aishah?

Siti Aishah beli buku ‘militan’ di Masjid India