Pensyarah mohon maaf kepada pelajar India, kes selesai, kata UM

Pensyarah mohon maaf kepada pelajar India, kes selesai, kata UM

Pertemuan diadakan dengan kedua-dua pelajar dan pensyarah tersebut berjanji lebih berhati-hati pada masa depan.

Amin-Jalaludin-lecturer-um
PETALING JAYA: Seorang pensyarah Universiti Malaya (UM) berpangkat profesor yang mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman kepada 2 pelajar India awal tahun ini sudah membuat kenyataan maaf kepada mereka, lapor Malaysiakini.

Naib Canselor UM, Tan Sri Prof Dr Mohd Amin Jalaludin berkata pensyarah itu membuat permohonan maaf secara lisan dan bertulis dalam pertemuan dengan pelajar berkenaan yang turut dihadiri beliau.

Amin berkata kedua-dua pelajar itu menerima permohonan maaf itu dan berharap insiden itu tidak akan diulangi.

“Pensyarah berkenaan menyesali insiden itu dan menegaskan beliau tidak bermaksud membangkitkan isu perkauman. Beliau juga berjanji akan lebih berhati-hati pada masa depan,” kata Amin dipetik Malaysiakini.

Sebelum ini, Majlis Profesor Negara (MPN) dilaporkan selesai menjalankan siasatan ke atas pensyarah itu dan menyerahkan laporannya kepada Amin bulan lalu.

Pada 17 Februari lalu, pelajar Lalitha Sudeshna melalui Facebooknya mendakwa seorang pensyarah di Fakulti Pendidikan UM bersikap rasis dengan melarang beliau dan rakannya duduk bersebelahan atas alasan orang India meniru tugasan masing-masing.

“Ketika kami mengambil tempat, beliau tiba-tiba berkata, ‘India, saya tak suka India duduk bersama-sama. Jangan bawa budaya Unitar ke sini. India duduk sama-sama lepas itu akan tiru assignment dan plagiarise. Saya kenal India’.

“Kemudian beliau berkata kepada saya, ‘You, baju merah, duduk depan sekarang’. Kemudiannya berkata kepada rakan saya, ‘You duduk sana’,” katanya menceritakan pengalaman bersama rakannya.

Lalitha mendakwa ia bukan kejadian pertama dengan pensyarah berkenaan kerana mereka pernah menerima kata-kata menyakitkan ketika sesi orientasi pelajar.

UM ‘rehatkan’ pensyarah didakwa hina pelajar

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.