
Pengerusi Biro Ekonomi dan Agenda Nasional Perkasa Datuk Ruhanie Ahmad berkata ia bagi membolehkan rakyat mendapatkan maklumat sebenar.
“Kami tidak prejudis terhadap pelaburan dari China, tetapi kerajaan perlu memperkenalkan dasar yang membolehkan rakyat mengetahui KPI (Indeks Pencapaian Utama) bagi pelaburan langsung asing,” katanya pada sidang meja bulat Perkasa berkenaan kesan pelaburan China di Malaysia, hari ini.
Pengarah Eksekutif Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas) Wan Saiful Wan Jan berkata, beliau yang memang menyokong pasaran terbuka dan pelaburan asing pun merasa risau dengan pelaburan dari China.
“Dari awal sudah timbul persoalan tentang ketelusan dan penyerahan kontrak. Dari awal lagi kontrak diberikan tanpa tender terbuka,” katanya.
Beliau merujuk kontrak projek Landasan Keretapi Pantai Timur (ECRL) yang dianugerahkan secara terus kepada syarikat China, China Communication Construction Company Ltd (CCCC).
“Dengan permulaan seperti itu, dengan tadbir urus yang lemah, ia menimbulkan kerisauan tentang bagaimana kita akan meneruskannya pada masa depan,” katanya.
Lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan jemaah menteri ke China tahun lalu menandatangani 14 perjanjian dengan nilai kira-kira RM144 bilion.
Mereka juga mencadangkan perkara sama – pembentangan KPI setiap 6 bulan – berkaitan hala tuju baru agenda bumiputera, Transformasi Kesejahteraan Bumiputera (TKB) yang dilancarkan Rabu lalu.
TKB kesinambungan kepada Halatuju Transformasi Ekonomi Bumiputera 1.0, inisiatif di bawah Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) yang berjalan sejak 2012-2017 bagi meningkatkan penyertaan golongan Bumiputera dalam ekonomi negara.
Ruhanie berkata, kelemahan Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang menurutnya lebih memanfaatkan segelintir golongan tidak boleh berulang.
Wan Saiful pula berkata TKB memerlukan tarikh tamat maka pembentangan KPI penting agar program dapat dinilai pencapaiannya, mengulangi kenyataan Ideas sebelum ini.
Beliau berkata tanpa tarikh tamat, “sampai kiamat pun (kerajaan) akan kata ia masih diusahakan…dan kita tidak tahu bagaimana untuk mengukur sejauh mana kerajaan mencapai matlamat dalam agenda Bumiputera.”
“Sebab itu saya cadangkan agar kerajaan digesa memaklumkan pencapaian dan KPI secara terperinci setiap 6 bulan…supaya kita boleh nampak pencapaiannya yang sebenar,” katanya.