
Pada masa yang sama badan bukan kerajaan itu berharap semua pihak menilai isu membabitkan Zakir secara adil, bukannya berdasarkan sentimen.
Presidennya, Datuk Ibrahim Ali berkata, Zakir kini memerlukan perlindungan kerana risau dilayan teruk oleh pihak berkuasa India.
Kerajaan India mahu Zakir pulang ke tanah airnya untuk disoal siasat berhubung dakwaan pengubahan wang haram dan keganasan.
“Sama seperti apabila (Pengerusi Bersih) Maria Chin Abdullah dan aktivis lain ditangkap, ramai yang risau jika mereka dilayan teruk. Begitu juga yang mempersoalkan layanan polis terhadap tahanan Sosma.
“Begitu juga dengan ketakutan Zakir terhadap pihak berkuasa India,” kata beliau selepas sidang meja bulat Perkasa berkenaan kesan pelaburan China di Malaysia, hari ini.
Pengerusi Biro Ekonomi dan Agenda Nasional Perkasa, Datuk Ruhanie Ahmad pula mendesak Subramaniam, yang juga Menteri Kesihatan, meletakkan jawatan jika tidak setuju dengan keputusan kerajaan memberi status penduduk tetap kepada Zakir.
“Keputusan dibuat oleh menteri dalam negeri, dan dipersetujui seluruh Kabinet. Beliau adalah menteri yang berada dalam Kabinet. Jika beliau tidak setuju, boleh letak jawatan,” kata beliau.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada 18 April lalu mengesahkan Zakir telah diberi status PR kira-kira 5 tahun lalu sebelum beliau memegang portfolio itu.
Minggu lalu, Zakir yang dikurniakan anugerah oleh Perkasa menegaskan tidak akan pulang ke India kerana bimbang akan diseksa.
Namun beliau menyatakan kesediaan untuk memberi keterangan kepada pihak berkuasa India melalui telepersidangan.
Semalam, akhbar The Times of India melaporkan Mahkamah Khas Agensi Siasatan Kebangsaan India (NIA) mengeluarkan waran tangkap ke-2 terhadapnya.
Ibrahim juga berkata, dakwaan Zakir mempromosikan keganasan dan menghina agama lain sebagai tidak berasas, berdasarkan video ucapannya yang tersebar di seluruh dunia.
“Perbandingan antara agama dibincangkan setiap hari di seluruh dunia. Maka berlaku adillah kepadanya, jangan berdasarkan sentimen.
“Tambahan pula Zakir memberi syarahan kepada orang Islam. Jika ada segelintir orang bukan Islam yang ingin hadir, kita tidak boleh halang.”