
Menerusi Twitter, bekas menteri Umno itu juga mencadangkan sebarang wacana tentang kehadiran Zakir di Malaysia, terutamanya oleh mereka yang mempertahankan beliau perlu diurus dengan lebih baik oleh kerajaan.
“Isu Zakir Naik mudah. Jika beliau bukan bahaya kepada keamanan dan keharmonian kita, dan bukan penjenayah, biarkan beliau kekal.
“Jika tidak, hantar beliau pulang. Tidak perlu untuk membawa emosi yang tinggi atau membawa ulama ke dalam perbincangan ini. Lazimnya, mereka terlalu emosi,” kata Zaid dalam tweet.
Dalam satu lagi tweet, Zaid berkata: “Seorang mufti memanggil orang India sebagai penyemah lembu. Seorang lagi ulama memanggil orang yang menentangnya biawak, syaitan, kepada tahi dan sebaginya.”
Semalam, Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin menerbitkan satu puisi yang menyasarkan kepada komuniti beragama Hindu.
Asri menyelar apa yang dipanggilnya golongan “mempertuhankan lembu” kerana menentang seorang “pendakwah”.
“Apabila yang mempertuhankan lembu bersatu, lantas menyeru agar pendakwah kita dibelenggu,” Asri memulakan catatan ringkas yang disifatkannya “puisi pagi Jumaat”.
Walaupun tidak menamakan siapa yang dimaksudkannya, beliau sebelum ini mempertahankan Zakir, yang dikecam beberapa persatuan bukan Islam, termasuk Hindraf.
Dalam catatannya, Asri turut mengecam sebuah kerajaan yang menurutnya “menyembah api dan penganut sati, pembakar wanita janda, di benua sana.”
Sati merujuk amalan kuno di kalangan masyarakat Hindu di India yang diharamkan di negara itu, di mana seorang balu membakar dirinya selepas kematian suami.
Asri sebelum ini membidas tindakan sekumpulan aktivis termasuk pemimpin Hindraf, P Waythamoorthy yang menyaman kerajaan kerana membenarkan Zakir tinggal di Malaysia.
Ini berikutan laporan terbaharu media yang memetik keputusan 2 mahkamah berasingan di India yang mengeluarkan waran tangkap terhadap Zakir, dengan yang terbarunya kelmarin.
Pihak berkuasa di sana telah memfailkan kes pengubahan wang haram terhadap Zakir. Beliau dan yayasannya yang berpangkalan di Mumbai, IRF, dituduh menghasut umat Islam dan menggalakkan permusuhan antara masyarakat.
Semalam, Zaid juga menyelar kumpulan hak Melayu, Perkasa yang menyamakan Zakir dengana Ayatollah Ruhollah Khomeini, yang memutuskan untuk menetap di Perancis pada 1978 sebelum kembali ke Iran susulan kejatuhan Shah Iran pada tahun berikutnya.
“Khomeini tidak mempunyai tuduhan jenayah terhadapnya seperti pengubahan wang haram. Selain itu, Khomeini tidak pernah berkata agama-agama lain tidak berguna, dan tidak membawa diri dengan ucapan benci.
“Beliau menentang Shah, itu sahaja,” kata Zaid merujuk kepada keputusan kerajaan Perancis itu pada 1978 untuk memberikan perlindungan politik kepada Khomeini, sambil menambah, persamaan itu tidak boleh digunakan dalam kes Zakir.
Laporan FMT awal hari ini memetik Prof Mohd Tajuddin Mohd Rasdi dari Universiti UCSI yang terkilan dengan kenyataan Asri mempersoalkan kedalaman pengetahuan Mufti Perlis itu mengenai agama Hindu.
Mohd Tajuddin berkata, hasil penelitian beliau ke atas teks-teks klasik Hindu menunjukkan Asri melihat agama Hindu dalam konteks yang sempit.
Beliau seterusnya berkata, adalah sesuatu yang amat menyedihkan apabila seseorang yang berilmu dan dihormati seperti Asri boleh membuat kenyataan seumpama itu.
Hujung minggu lalu, Zakir menghadiri acara Perkasa dan dipetik berkata beliau akan diseksa jika kembali ke India.