
Lelaki etnik Korea berusia 50-an itu dikenali hanya dengan nama keluarga Kim, berada di Korea Utara sejak sebulan lalu untuk membincangkan aktiviti bantuan kemanusiaan, kata Yonhap hari ini. Beliau ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Pyongyang dalam perjalanan keluar dari negara itu.
Lelaki tersebut bekas profesor di Universiti Sains dan Teknologi Yanbian (YUST), kata Yonhap, memetik sumber yang tidak dinamakan. YUST, sebuah universiti di China, mempunyai universiti kembar di Pyongyang.
Seorang pegawai rasmi di Perkhidmatan Perisikan Kebangsaan Korea Selatan berkata agensinya tidak menyedari penangkapan itu. Panggilan kepada YUST juga tidak berjawab.
Korea Utara, yang dikritik kerana rekod hak asasi manusia, pernah menggunakan warga AS yang ditahan untuk mendapatkan lawatan berprofil tinggi daripada AS, yang tidak mempunyai hubungan diplomatik rasmi dengan negara itu.
Sebelum ini 2 orang warga AS berada dalam tahanan Korea Utara.
Otto Warmbier, seorang pelajar 22 tahun, ditahan Januari tahun lepas dan dijatuhkan hukuman 15 tahun kerja berat oleh mahkamah Korea Utara kerana cuba mencuri kain rentang propaganda.
Pada Mac 2016, seorang warga AS etnik Korea Kim Dong Chul, 62, dijatuhkan hukuman 10 tahun kerja berat kerana menjalankan aktiviti subversif.
Pendakwah Kristian dari AS, Kenneth Bae ditahan pada 2012 dan dijatuhkan hukuman 15 tahun kerja beras kerana melakukan jenayah terhadap kerajaan.
Beliau dibebaskan 2 tahun kemudian.