Gerakan: Pakatan tak boleh dakwa tidak berasaskan kaum

Gerakan: Pakatan tak boleh dakwa tidak berasaskan kaum

Pemuda Gerakan Selangor berkata, PPBM tidak boleh sembunyikan haluan kaumnya.

Ivanpal-Grewal-Singh-saifudin-abdullah2
PETALING JAYA: Gerakan mendakwa Ketua Setiausaha Sekretariat Pakatan Harapan (PH), Datuk Saifuddin Abdullah menghina kebijaksanaan orang ramai dengan dakwaannya pakatan pembangkang itu tidak mengamalkan politik perkauman.

Mengulas kenyataan Saifuddin semalam, Naib Pengerusi Pemuda Gerakan Selangor, Ivanpal Grewal Singh berkata, beliau sudah mengabaikan haluan kaum ahli terbaru PH, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Kenyataan Saifuddin itu susulan ucapannya di Konvensyen PH Wilayah Persekutuan. Merujuk Barisan Nasional (BN), beliau berkata: “Bagi mereka, jika isu itu memberi kesan kepada kaum India, mereka akan beritahu MIC untuk kendalikannya; jika ia menjejaskan orang Cina, mereka maklumkan MCA untuk uruskannya; jika ia memberi kesan kepada orang Melayu, Umno akan kendalikannya.”

Sebaliknya, beliau mendakwa Pakatan akan “menangani setiap isu untuk semua orang kerana itu adalah cara rakyat Malaysia”.

Ivanpal berkata, Saifuddin tidak menyatakan syarat keahlian PPBM ialah perkauman berdiskriminasi.

“PPBM ialah parti berasaskan kaum dan untuk menyamar sebagai sebuah parti bukan perkauman, ia membenarkan bukan Bumiputera mendaftar sebagai ahli kelas ke-2,” katanya.

Selepas pendaftaran PPBM tahun lalu, Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberitahu wartawan rakyat bukan Bumiputera boleh menyertai parti itu sebagai ahli bersekutu, tetapi mereka tidak boleh mengundi dan bertanding mana-mana jawatan dalam parti.

Ivanpal berkata, “tidak adil” untuk mengatakan BN terdiri daripada parti berasaskan kaum sepenuhnya.

“BN ialah gabungan parti bukan berasaskan kaum dan berasaskan kaum. Tetapi, jika anda lihat Kabinet, exco negeri dan Majlis Tertinggi BN, semua masyarakat diwakili.”

Beliau berkata, adalah penting untuk membezakan bentuk dan kebenaran.

“Pakatan Harapan sentiasa mengenai bentuk besar, tetapi bukannya kebenaran. Helah parti berasaskan kaum ini hanya satu cara untuk memesongkan perhatian daripada perkara itu.

“DAP mempunyai keahlian terbuka kepada semua kaum, tetapi jika anda lihat kepada parti itu, kebanyakannya berketurunan Cina.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.