Kenapa upah bekas banduan jaga pelajar tahfiz, soal DAP

Kenapa upah bekas banduan jaga pelajar tahfiz, soal DAP

Charles Santiago berkata sekolah tahfiz terbabit perlu ditutup sementara menunggu siasatan terperinci terhadap penderaan Thaqif dan semua pelajar

charles-tahfiz
PETALING JAYA: Ahli Parlimen Klang Charles Santiago mempersoalkan kenapa pihak sekolah mengupah bekas banduan untuk menjaga pelajar berikutan kematian pelajar tahfiz berusia 11 tahun yang didakwa didera pembantu warden.

“Adakah kita tahu pembantu warden itu pernah disabitkan dengan kesalahan?

“Adakah sekolah tidak selidik dulu jika dia mempunyai sejarah keganasan atau naik angin?”

Dalam kenyataan hari ini, Santiago berkata pihak sekolah gagal melindungi Mohamad Thaqif Amin Mohd Gaddafi daripada “penderaan yang terang-terangan”.

Charles berkata ia berlaku walaupun ibu saudara memerikan layanan teruk yang dialami Thaqif dan rakan-rakannya.

“Sekolah itu mesti ditutup sementara menunggu siasatan terperinci terhadap penderaan bukan saja terhadap Thaqif tapi semua pelajar.”

Mempersoalkan mengapa pihak sekolah tidak menyedari penderaan itu, beliau menambah pertumbuhan sekolah tahfiz di negara ini juga menimbulkan persoalan tentang pemantauannya.

“Adakah ada badan kawal selia yang memantau sekolah ini? Siapa yang meluluskan guru dan wardennya?

“Apakah ada mekanisme semak dan imbang serta amalan terbaik?”

Thaqif dimasukkan ke Hospital Sultan Ismail (HSI) pada 19 April kerana kecederaan di kaki selepas dia didakwa dipukul pembantu warden.

Jumaat lalu, doktor terpaksa memotong kakinya dalam usaha mencegah jangkitan ke tisu dan sel darah dan pada hari berikutnya dia koma.

Doktor kemudian mendapati tangan kanannya juga bertukar hitam selepas menjadi necrotic. Thaqif kemudiannya dijadualkan menjalani pembedahan lanjut untuk memotong tangan kanannya pagi semalam.

Bagaimanapun, ia ditangguhkan kerana keadaan jantungnya tidak stabil. Beliau kemudiannya meninggal dunia 2:06 petang.

“Kita perlukan jawapan. Orang ramai perlu tahu agar kematian seumpama itu tidak berlaku lagi,” kata Santiago.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.