PM kata kerajaan tidak boros

PM kata kerajaan tidak boros

Najib berkata ekonomi negara dalam keadaan baik dan positif kerana kerajaan mengambil langkah tepat dan berani

najib-ringgit
PUTRAJAYA:
Kerajaan tidak boros apabila berbelanja, sebaliknya menekankan perbelanjaan mengikut kemampuan dan had serta berhemat, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

“Kita tidak boleh tergesa-gesa berbelanja dan terpengaruh untuk berbelanja, kalau meminjam duit perlulah untuk pelaburan produktif,” kata Najib yang juga Menteri Kewangan.

Berucap pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Kementerian Kewangan 2016 hari ini, Najib berkata kerajaan akan memastikan hutang negara berada di bawah paras 55%.

Menurut beliau, pada 2016 hutang negara berada pada paras 52.6%.

Najib berkata asas ekonomi kini dalam keadaan begitu baik dan positif kerana kerajaan mengambil langkah tepat dan berani.

Beliau berkata kerajaan tidak meraih populariti atau menjadi popular, tetapi sanggup berkorban demi kepentingan negara dalam jangka masa pendek dan panjang.
“Kalau kita pembangkang, kita tidak perlu berpijak atas realiti, sebaliknya kita boleh menjanjikan sesuatu semata-mata meraih sokongan.

“Tetapi, mungkin mereka (pembangkang) sendiri tidak melakukan kalau mereka dapat kuasa.

“Sebaliknya, kita sebagai sebuah kerajaan, tidak boleh bersikap demikian, apa keputusan yang kita lakukan, mesti berpijak di bumi nyata dan bertanggungjawab.

“Keputusan yang kita buat pasti tepat, kalau salah buat keputusan, kesan buruk kepada ekonomi dan rakyat,” tegas perdana menteri.

Najib berkata langkah dan pandangan tepat membolehkan kerajaan mengurus ekonomi negara dan kewangan kerajaan dengan baik walaupun terdapat banyak ketidaktentuan dan tidak dapat diduga.

“Tahun ini kita berusaha meningkatkan lagi pencapaian ekonomi kita antara 4.3 hingga 4.8%.

“Kita lihat asas fisikal konsolidasi yang dijanjikan dan dilaksana pada 2009, defisit fisikal kita berada pada 6.7% dan tahun lepas pada 3.1%.

“Tahun ini, kita dapat mencapai 3%, jadi sedikit demi sedikit kita menjurus kepada bajet berimbang dan 1 hari nanti kita akan dapat memenuhi matlamat yang hendak dicapai,” kata Najib.

Mengulas lanjut, perdana menteri berkata kerajaan mengambil langkah seperti melaksanakan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) walaupun ada pihak yang berkata GST akan menyebabkan kerajaan menjadi tidak popular.

“Sebagai perdana menteri, saya sanggup buat kerana saya percaya GST adalah langkah tepat untuk ekonomi.

“Bila harga minyak jatuh, kita rugi RM35 bilion hasil negara, kalau tidak ada GST, ekonomi kita akan tersungkur.

“Tahun ini dijangkakan GST mendapat hasil dalam lingkungan RM45 bilion, belum tahu lagi tapi itulah jangkaan kita.

“Ini bererti kita boleh tentukan hasil negara berada pada tahap baik dan segala perkhidmatan yang diberi kepada rakyat dapat kita lakukan,” katanya.

Mengenai Pusat Transformasi Bandar (UTC), Najib berkata tiada negara di dunia yang menyediakan perkhidmatan UTC seperti Malaysia yang memberikan keselesaan kepada rakyat dalam urusan membuat pasport dalam 1 jam serta mendapatkan rawatan di Klinik 1Malaysia dengan bayaran RM1.

“Percayalah, negara berada di landasan benar dan bila kita buat secara gigih, kita capai apa yang diharapkan.

“Saya mahu lonjakan yang besar dan mahu menjadikan Malaysia antara 20 negara pertama di dunia menjelang 2050, itu aspirasi, hasrat dan impian kita dan saya percaya kita boleh capai,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.