
Ketua pemuda PPBM hari ini berkata beliau berasa jijik dengan tindakan perkauman dan provokatif Barisan Bertindak Melayu Islam (Bertindak).
“Saya orang Melayu dan tindakan Bertindak sama sekali tidak mewakili kehendak kolektif masyarakat Melayu. Mereka ini sebenarnya merupakan sebuah penghinaan kepada orang Melayu.
“Saya orang Melayu tetapi kewarganegaran sebagai rakyat Malaysia tetap diutamakan,” kata Syed Saddiq Abdul Rahman, dan menambah identiti Malaysia yang menyatukan semua kumpulan etnik di bawah satu payung yang sama.
“Malaysia meraikan perpaduan dalam kepelbagaian.”
Bertindak dianggotai 22 pertubuhan, termasuk Perkasa, Persatuan Pengguna Islam Malaysia, Muafakat, Yayasan GPMS dan Pembela.
Semalam, jurucakap Bertindak Mohd Khairul Azam Abdul Aziz mendakwa pemberian kewarganegaraan kepada bukan Melayu ketika Malaysia mencapai kemerdekaan melanggar proses yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, oleh itu perlu disemak semula.
Khairul berkata Jadual 1 Perlembagaan menetapkan taraf kerakyatan hanya akan diberikan kepada pemohon selepas mereka mengangkat sumpah taat setia.
Bagaimanapun, beliau mendakwa prosedur itu tidak dilakukan pada 1957 hingga 1970 ketika memberi taraf kerakyatan kepada 1.75 juta orang bukan Melayu.
“Oleh itu, kami meminta diberikan ruang untuk mencabar dan mempersoalkan pemberian taraf kewarganegaraan kepada bukan Melayu yang pernah diberikan. Ini adalah satu peruntukan undang-undang yang perlu dibawa ke mahkamah dan kita nak minta biar mahkamah tentukan,” kata Khairul.
Syed Saddiq risau melihat tindakan kumpulan tersebut yang cuba memusnahkan moral fabrik bangsa dengan cubaan menarik balik kerakyatan rakyat bukan Melayu.
“Kita sudah hidup bersama-sama selama berdekad. Kita juga makan bersama-sama, pergi ke sekolah bersama-sama, bekerja sersama-sama malah berjuang menentang peperangan dan konflik bersama-sama, tetapi masih pihak yang tidak bertanggungjawab ini cuba untuk memadamkan sejarah di sebalik perpaduan yang telah menyatukan kita semua dibawah Jalur Gemilang.
“Saya pasti bahawa pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab (BERTINDAK) sebelum ini juga pernah dididik oleh cikgu yang bukan Melayu. Saya pasti mereka juga mempunyai rakan-rakan yang bukan berkaum Melayu. Saya pasti mereka juga pernah dirawat oleh doktor yang bukan berkaum Melayu.
“Tetapi masih hendak menarik balik kerakyatan rakyat Malaysia yang telah menabur budi,” kata Syed Saddiq.