Unicef hiba kematian Thaqif, gesa hukuman dera diharamkan

Unicef hiba kematian Thaqif, gesa hukuman dera diharamkan

Ada tanggapan salah kononnya hukuman fizikal satu-satunya cara memupuk disiplin dalam kanak-kanak, kata jurucakap Unicef di Malaysia

unicef
KUALA LUMPUR: Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef) berkongsi kehibaan terhadap kematian Mohamad Thaqif Amin Mohd Gaddafi, 11, dan berkata kematian kanak-kanak itu menekankan perlunya hukuman dera di sekolah diharamkan.

“Kehilangan Mohamad Thaqif yang dialami keluarga, sekolah dan masyarakat menjadi peringatan tentang kesan buruk hukuman dera dan penggunaan kekerasan sebagai satu bentuk disiplin,” kata jurucakap Unicef Malaysia, Marianne Clark-Hattingh.

Beliau berkata ada kaedah “tanpa kekerasan” yang lebih berkesan untuk mendisplinkan kanak-kanak.

“Disiplin positif mengajar kanak-kanak mengenai perkara baik dan buruk, dan bagaimana melayan orang lain tanpa mengenakan kecederaan fizikal dan emosi yang disebabkan oleh rotan, cemuhan atau aib. Ia menghormati maruah kanak-kanak.”

Thaqif meninggal dunia pada 2.06 petang semalam di Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru selepas dimasukkan seminggu sebelum itu untuk kecedaraan pada kaki. Beliau didakwa dipukul pembantu warden di sekolah tahfiznya.

Jumaat lepas, doktor terpaksa memotong kaki Thaqif dalam usaha menghalang jangkitan merebak ke tisu dan sel darah dalam tubuh. Beliau juga dijadualkan untuk menjalani pembedahan memotong tangan kanan.

Pembantu warden itu ditahan Sabtu lepas dan direman sementara menunggu siasatan diselesaikan, yang diklasifikasikan semula daripada kes dera kepada kes bunuh, menurut polis.

Marianne hari ini berkata hukuman dera sebagai hukuman “kejam, tidak berperikemanusiaan dan menjatuhkan maruah”, dan menambah ada tanggapan salah kononnya hukuman dera satu-satunya cara untuk memupuk disiplin dalam kanak-kanak.

“Ada kesannya jika kita tidak bertindak. Apabila kanak-kanak dirotan dan dimalukan, mereka dicederakan oleh tindakan guru-guru mereka. Kesakitan yang mereka rasai sekarang boleh meninggalkan parut fizikal dan emosi seumur hidup.”

Beliau berkata mesyuarat aktivisi hak kanak-kanak, yang dianjurkan kerajaan Malaysia tahun lepas, sepakat mengatakan kekerasan pada masa kanak-kanak memberikan impak negatif kepada pembangunan sosial dan ekonomi negara, dan membebankan sistem penjagaan kesihatan negara.

Marianne juga mengingatkan Malaysia antara pihak yang menandatangani Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC), walaupun masih ragu-ragu untuk mengharamkan “penyeksaan atau layanan atau hukuman lain yang zalim, tidak berperikemanusiaan atau menjatuhkan maruah”.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.