
“Logo ni langsung tiada aura,” kata Fahad Mk dalam Facebook, beberapa jam selepas 3 logo itu di muat naik Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli, bagi mendapatkan pandangan umum.
“Lambang cap dacing tu lagi nampak gah,” katanya dipercayai merujuk logo Barisan Nasional.
Pakatan Harapan merupakan gabungan antara DAP, PKR, Amanah dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM). Ia dijangka menyertai pilihan raya umum yang akan datang menggunakan satu logo, kali pertama pembangkang berbuat demikian dalam sejarah pilihan raya.
Dua daripada 3 logo yang dimuat naik Rafizi hari ini menunjukkan grafik separa matahari dengan perkataan “Harapan” di bawahnya, masing-masing dengan latar belakang kuning dan merah.
Satu lagi logo menunjukkan gambar ibu jari menuding ke atas (thumbs up) dengan perkataan “Pakatan Harapan”.
Gabungan itu dijangka membuat keputusan dalam masa 2 minggu.
Pengguna Facebook memberikan reaksi dengan lebih 1,000 komen selepas 5 jam Rafizi memuat naik logo tersebut, yang meminta orang ramai mengundi dengan menaip hashtag logo kegemaran mereka.
Bagaimanapun, hampir tidak ada yang mengundi, sebaliknya kebanyakannya mempersoalkan bakat pereka bentuk logo tersebut.
“Macam logo kacang mengelembu Ngan Yin aje, tolong designer buat creative sikit,” kata Hisham Misri.
“Tak ada semangat kesatuan langsung, tak wakili rakyat malaysia. Tengok logo Pakatan Rakyat dahulu, lebih dekat dengan rakyat berbilang kaum di Malaysia,” kata Muhamad Hassbi.
Mohd Asmawi Ab Rahman pula memberikan kritikan lebih pedas: “Logo macam tak ada semangat nak memerintah langsung.”