Dr Mahathir sekali lagi gesa pengundi Pekan singkir Najib

mahathir-najibPETALING JAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad sekali lagi merayu pengundi di Pekan menyingkirkan Datuk Seri Najib Razak pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Beliau menggesa pengundi di bandar Pahang itu, di mana Najib sudah berkhidmat sebagai ahli Parlimen selama 9 penggal berturut-turut, untuk “menyelamatkan negara” dengan membantu menyingkirkan perdana menteri itu daripada jawatannya.

Ini bukan kali pertama bekas perdana menteri itu membuat rayuan berkenaan.

Pada Oktober 2015, ketika menghadiri majlis minum petang anjuran sebuah cawangan Umno di Kuala Lumpur, Dr Mahathir yang masih berada dalam Umno meminta pengundi di Pekan memberi keutamaan kepada isu negara dan mengundi dengan bijak, menolak dorongan tunai yang mungkin diberikan Najib kepada mereka untuk mendapatkan undi.

Dalam video tidak bertarikh yang dilihat FMT, Dr Mahathir memberitahu rakyat Pekan mereka mewakili “perjuangan” negara dan bangsa Melayu untuk menjatuhkan Najib yang mengetuai Malaysia sejak Mac 2009.

“Saya berpendapat Pekan ialah salah sebuah kawasan paling penting pada PRU14.

“Penduduk dan pengundi di Pekan berpeluang menyelamatkan negara dengan menyebabkan kekalahan Datuk Seri Najib.

“Apabila tiba masanya, jangan sama sekali sokong Datuk Seri Najib atau mengundi beliau pada pilihan raya umum akan datang,” katanya.

Beliau sebaliknya menggesa pengundi menyokong parti menentang Najib yang terbabit dalam usaha menamatkan pemerintahannya.

Dr Mahathir berkata, Najib, yang juga menteri kewangan pertama, didakwa membawa dasar yang akan memudaratkan negara.

Beliau berkata, bapa Najib – Abdul Razak Hussein yang merupakan perdana menteri ke-2 dari 1970 sehingga 1976, merupakan ikonnya.

Razak menyokong Dr Mahathir dengan membawa ahli Umno yang digantung itu kembali ke parti berkenaan dan akhirnya membuka jalan bagi pemimpin dari Kedah itu menjadi perdana menteri ke-4 dari 1981 sehingga 2003.

“Dengan itu, saya turut menyokong Datuk Seri Najib supaya beliau juga boleh menjadi perdana menteri. Tetapi, selepas beliau menjadi perdana menteri, kelakuan dan tindakannya sangat berbeza daripada bapanya.”

Beliau berkata, Najib menghilangkan “berbilion” ringgit wang negara yang gagal dikesan sekarang.

“Kami dapati RM2.6 bilion diletakkan dalam akaun peribadinya dan sejak itu ia sudah dikeluarkan.”

Katanya, beliau sedih dengan tindakan itu.

“Saya cuba menasihatinya, tetapi beliau tidak mendengar nasihat itu,” kata Dr Mahathir sambil menambah, Najib berkelakuan seolah-olah beliau boleh membeli apa sahaja dengan wang, termasuk sokongan untuk dirinya pada pilihan raya.

Dalam ucapannya di Balik Pulau, Pulau Pinang pada Februari lalu, Dr Mahathir “memohon maaf kepada semua” kerana bertanggungjawab menjadikan Najib sebagai perdana menteri.

Najib menguasai Pekan sejak memenangi pilihan raya kecil di sana pada 1976 ketika berusia 23 tahun, dengan pengecualian 1 penggal antara PRU 1982 dan 1986, apabila beliau menjadi menteri besar Pahang selepas memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri Bandar Pekan.

Kerusi Parlimen Pekan sebelum ini dipegang Razak dari 1959 sehingga beliau meninggal dunia pada 1976.

Ramai tahu Dr Mahathir yang dibawa Razak menyertai Kabinet pada 1974, memainkan peranan penting dalam pemilihan Najib untuk bertanding di kerusi Pekan dan kemudiannya menjadi timbalan menteri pada 1978 ketika berusia 25 tahun serta menteri besar Pahang pada 1982.