2 rakyat Malaysia ditahan dalam ‘parti seks gay’ Jakarta

2 rakyat Malaysia ditahan dalam ‘parti seks gay’ Jakarta

Polis Indonesia berkata, 10 daripada 141 lelaki itu boleh didakwa di bawah undang-undang anti pornografi negara itu.

pesta-gay-2
JAKARTA:
Polis Indonesia menahan 141 lelaki, termasuk 2 warga Malaysia yang didakwa menyertai sebuah parti seks gay di sebuah sauna, kata seorang pegawai semalam.

Ia merupakan tindak balas terhadap golongan homoseksual di negara majoriti umat Islam itu.

Ahad lalu, sekumpulan pegawai menyerbu sebuah bangunan di Jakarta yang menempatkan sebuah sauna dan gim serta menghentikan sebuah parti seks yang diberi nama “The Wild One”.

Gambar yang tersebar di Internet menunjukkan seorang lelaki tidak berbaju duduk dalam sebuah bilik bersebelahan peralatan gim selepas serbuan itu.

Selain 2 rakyat Malaysia, polis berkata, 2 lagi warga asing turut ditahan – masing-masing dari Britain dan Singapura.

“Pegawai kami melakukan siasatan penyamaran dan menyerbu tempat itu pada Ahad,” kata detektif kanan Nasriadi yang dipetik AFP.

pesta-gay

Homoseksual dan seks gay adalah sah di Indonesia kecuali di wilayah konservatif, Aceh. Tetapi, Nasriadi berkata, 10 daripada lelaki ditahan itu boleh didakwa di bawah undang-undang anti pornografi.

Serbuan itu adalah satu lagi bukti perang ke atas golongan kecil lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) di Indonesia. Sejak tahun lepas, menteri, penyokong dan kumpulan Islam berpengaruh mengutuk homoseksualiti secara terbuka.

Tindak balas semakin meningkat

Mereka yang mungkin dihadapkan ke mahkamah termasuk penganjur parti itu dan lelaki yang disyaki menjadi pelacur dan penari bogel.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh dijatuhkan hukuman penjara sehingga 10 tahun.

Polis masih menyoal siasat lelaki lain yang ditahan sebagai saksi berpotensi dalam kes itu.

Nasriadi berkata, mereka yang menghadiri parti itu perlu membayar yuran kemasukan, termasuk pertunjukan bogel di tingkat 1 bangunan berkenaan dan “parti seks” utama yang diadakan di tingkat lain agak gelap.

Sesetengah lelaki yang ditahan itu berdiri di depan media pada sidang akhbar dengan memakai topeng hitam. Sebuah gabungan kumpulan peguam mengutuk penahanan dan layanan terhadap golongan itu.

Gabungan yang mewakili kumpulan lelaki itu mendakwa polis tidak membenarkan mereka memakai baju sebelum membawa mereka ke balai polis dan ketika sesi soal siasat.

Mereka juga menuduh polis mengambil gambar bogel lelaki tersebut dan menyebarkannya di media sosial sambil menambah: “Penahanan ini adalah satu duluan buruk bagi jantina lain dan minoriti seksual.”

Nasriadi bagaimanapun menafikan polis mengambil gambar lelaki ditahan itu dan menegaskan: “Kami bekerja secara profesional”.

Tindakan yang dikenakan ke atas golongan homoseksual itu bermula awal 2016, dan aktivis percaya ia berpunca daripada liputan meluas media berhubung keputusan Amerika Syarikat meluluskan perkahwinan sama jantina.

Tindakan terbaharu termasuk serbuan pada awal bulan ini ke atas sebuah parti disyaki berunsur seks gay di Surabaya. Lapan lelaki dinamakan suspek susulan serbuan itu dan mungkin didakwa di bawah undang-udang anti pornografi.

Minggu lepas, sebuah mahkamah Islam di Aceh menjatuhkan hukuman sebatan di khalayak ramai ke atas 2 lelaki kerana mengadakan hubungan seks gay, kali pertama hukuman itu dijatuhkan terhadap kegiatan homoseksual di wilayah konservatif itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.