
Mereka yang mahukan larangan seperti itu menyebabkan Islam kelihatan “hodoh”, katanya lagi merujuk kepada Jaringan Muslimin Pulau Pinang, yang menunjuk perasaan terhadap Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng minggu lepas.
Mereka tidak mahu Lim menyertai majlis berbuka puasa kecuali beliau memeluk agama Islam terlebih dahulu.
Penasihat strategi kepada Lim itu berkata seruan kumpulan itu melanggar ajaran agama kerana Islam mengalu-ngalukan semua orang untuk bersama berbuka puasa tanpa mengira kepercayaan mereka.
“Ajaran Islam itu mudah, tetapi pengikutnya mudah keliru kerana terlalu obses dengan sesuatu perkara tertentu.
“Dalam Islam ada perkara wajib, sunat, haram, makruf dan harus. Berpuasa itu wajib bagi orang Islam.
“Orang bukan Islam seperti ketua menteri tidak perlu berpuasa tetapi ia wajib bagi orang Islam. Berbuka puasa bersama saudara kita yang bukan beragama Islam adalah harus, tidak kira kamu berpuasa atau tidak.
“Tindakan kumpulan itu memberi wajah yang hodoh kepada Islam, mengikut ajaran al-Quran dan Rasul,” kata Saifuddin pada sidang media di Komtar hari ini.
Bekas menteri besar Perak Datuk seri Mohammad Nizar Jamaluddin yang turut hadir di sidang hari ini terkejut kerana penunjuk perasaan tempoh hari tidak mempertikaikan tindakan ahli PAS berbuka puasa dengan Lim di sebuah masjid di Penanti.
“Saya ingat 6 tahun lalu di pilihan raya kecil Penanti, Lim menghadiri majlis buka puasa bersama ulama PAS. Agak lucu kerana mereka tidak kata ia haram pada masa itu.
“Pemimpin dunia juga berbuka puasa sesama mereka. Contohnya Presiden AS Barack Obama, Perdana Menteri Singapura dan lain-lain yang mengadakan rumah terbuka untuk majlis berbuka puasa di bulan Ramadan.
“Saya ingin mengucapkan tahniah kepada ketua menteri kerana majlis berbuasa cara yang baik untuk memupuk perpaduan rakyat Pulau Pinang,” katanya.
Pemimpin Amanah ini, yang juga Adun Changkat Jering, sebelum itu menghubungi Lin dan sedang berkunjung ke Pulau Pinang.
Minggu lepas, Pengerusi Jaringan Mohd Hafiz Noordin menuduh Lim dan exconya mencampuri urusan penfatwaan dan memberitahu Lim jangan menyertai himpunan berbuka puasa di bulan Ramadan.
Hafiz berkata jika setiausaha agung DAP itu mahu berbuka puasa dengan orang Islam, beliau perlu memeluk agama Islam terlebih dahulu.
“Kita nak berpuasa daripada kekufuran. Kita nak baiki diri daripada berketuakan kafir macam DAP ini.
“Kita nak minta Guan Eng, berhenti buka puasa, kalau betul nak buka puasa, masuk Islam. Jangan main-main agama kita,” katanya kepada 50 penunjuk perasaan di luar Masjid Simpang Enam di Jalan Macalister selepas solat Jumaat minggu lepas.