Kes bunuh Jong Nam dipindah ke Mahkamah Tinggi

jum-nam-aisyahSEPANG: Kes 2 wanita asing yang didakwa membunuh abang sebapa kepada diktator Korea Utara, Kim Jong Nam di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 pada Februari lalu, dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Hakim Mahkamah Sesyen, Harith Sham Mohamed Yasin yang bertindak sebagai majistret, membenarkan permohonan timbalan pendakwa raya, Iskandar Ahmad untuk memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi berdasarkan peruntukan Seksyen 177A Kanun Prosedur Jenayah.

Hanya Mahkamah Tinggi boleh membicarakan kes yang membawa hukuman mati.

Warga Indonesia berusia 25 tahun, Siti Aisyah dan wanita Vietnam, Doan Thi Huong, 28, didakwa membunuh Jong Nam di klia2 pada 13 Februari lalu. Mereka berdua didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Ketika sebutan semula kes hari ini, peguam mewakili kedua-dua tertuduh, Gooi Soon Seng, Naran Singh dan Hisyam Teh Poh Teik mengulangi kebimbangan mereka yang polis dan pejabat pendakwa raya tidak memberikan dokumen berkaitan, termasuk rakaman CCTV kepada pihak pembelaan.

“Ini akan menyebabkan kedua-dua wanita itu tidak mendapat perbicaraan adil kerana mereka tidak boleh bersedia untuk pembelaan diri,” kata Gooi.

Tetapi, Iskandar memberi jaminan Jabatan Peguam Negara akan menyerahkan dokumen berkaitan kepada mereka.

Doan_law“Kami berkewajipan berbuat demikian di bawah Seksyen 51A Kanun Prosedur Jenayah untuk memberikan dokumen berkaitan sebelum perbicaraan bermula.

“Bagaimanapun, perbicaraan kes bunuh itu hanya akan diadakan di Mahkamah Tinggi dan belum ada tarikh ditetapkan timbalan pendaftar mahkamah.”

Ketika sebutan semula pada 13 April lalu, Gooi dan Naran mengadu tidak menerima dokumen berkaitan dan rakaman CCTV untuk bersiap sedia bagi perbicaraan kes itu.

Jong Nam yang merupakan anak sulung bekas pemimpin Korea Utara, Kim Jong Il, tiba di Malaysia pada 6 Februari lalu dan sepatutnya menaiki penerbangan pada jam 9 pagi 13 Februari lalu ke Macau.

Ketika berada di klia2, beliau didekati seorang wanita yang menyembur sejenis cecair ke mukanya, manakala seorang lagi wanita menyerkup mukanya dengan sehelai kain.

Jong Nam yang memiliki pasport tertera nama Kim Chol, meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Putrajaya. Kematiannya  menyebabkan hubungan diplomatik antara Malaysia dan Korea Utara tegang.