Masyarakat pelbagai agama di Cardiff berkongsi Ramadan

Masyarakat pelbagai agama di Cardiff berkongsi Ramadan

Masjid Dar Ul-Isra menyajikan hidangan berbuka puasa percuma kepada semua masyarakat dalam usaha meningkatkan pemahaman mengenai agama.

Cardiff
PETALING JAYA:
Sebuah masjid di Cardiff, United Kingdom membuka pintunya dan mengalu-alukan orang bukan Islam berkongsi hidangan berbuka puasa dengan orang Islam, lapor Wales Online.

Masjid Dar Ul-Isra di Cardiff menyajikan hidangan makan malam secara percuma sebagai sebahagian projek amal Titian Komuniti, dalam usaha meningkatkan pemahaman mengenai agama.

Saling kenal-mengenali antara komuniti menjadi lebih penting berikutan serangan di Manchester, kata Mohammed Alamgir dari masjid itu yang terletak di Jalan Wyeverne.

“Program Kongsi Ramadan di sini kini memasuki tahun ke-6 tetapi peristiwa ngeri yang berlaku di tempat yang terletak 4 jam dari sini menunjukkan betapa pentingnya peluang menyatukan masyarakat.

“Ia mengingatkan kita individu yang melakukan keganasan dan membunuh sembarangan itu tergolong dalam kalangan orang tidak beriman.

“Al-Quran mengajar orang Islam ‘menyelamatkan satu nyawa seolah-olah menyelamatkan semua manusia dan membunuh satu nyawa seolah-olah membunuh semua manusia’.

“Saya tahu petikan ayat yang sama juga terdapat dalam kitab suci dan kitab agama lain.

“Sangat indah mendengar pemandu teksi dan pengusaha hotel membantu mangsa dan orang ramai beratur untuk menderma darah kepada mangsa serangan di Manchester dan kami berharap masyarakat Cardiff menggunakan Kongsi Ramadan ini sebagai peluang untuk bersamaa dalam situasi yang mencabar ini.”

Ibu kepada 3 anak, Sarah Evans yang bertugas sebagai jururawat di Hospital Universiti Wales yang membantu menganjurkan Titian Komuniti bersama suaminya Mark berkata, masjid ada ruang untuk kira-kira 150 hadirin dalam 3 minggu lalu sejak 29 Mei lepas, dan separuh sudah ditempah.

“Matlamat kami supaya masyarakat lebih bersatu padu dengan menemukan orang berbeza agama,” kata Sarah, seorang Kristian tetapi tertarik dengan Islam selepas bekerja di Jordan.

“Aktiviti kami sekitar makanan kerana berkongsi makanan cara yang ampuh untuk menemukan masyarakat dan sebagai pembuka bicara.

“Duduk dan makan kita boleh lakukan bersama-sama.”

Seorang pengunjung yang menyertai program itu tahun lalu berkata: “Saya sangat berdebar kerana saya tidak pasti apa yang akan berlaku.

“Terdapat banyak berita negatif mengenai Islam yang membuatkan saya berasa tidak selesa.

“Bagaimanapun serta-merta saya berasa selesa dan dialu-alukan.

“Ia benar-benar tidak seperti apa yang saya jangkakan atau persepsi saya sebelum ini ada dan saya rasa kagum melihat keadaan sebenarnya dan ia mencabar pemikiran saya.

“Mohammed dan adik-beradiknya tuan rumah yang bagus dan saya dapati perbincangan yang berlaku sangat menarik dan berwawasan.”

Seorang lagi pengunjung berkata: “Kita tinggal di Roath, jadi Ramadan amat jelas kepada kita, dan ia baik untuk mendapatkan pemahaman lebih mendalam mengenai sesuatu yang sudah menjadi sebahagian daripada masyarakat kita.”

Masjid di daerah kecil Cathays ini menganggarkan mereka akan menghidangkan beribu-ribu makanan percuma sepanjang bulan Ramadan, di mana sukarelawan menghidangkan makanan bermula 8.00 malam hingga 10.00 malam.

Makanan percuma dihidangkan 3 kali seminggu dari 29 Mei hingga 14 Jun dan tempat yang disediakan perlu ditempah terlebih dahulu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.