
Pesuruhjaya Kamaruddin Sidek berkata acara itu jelas bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan dan boleh mengugat keharmonian negara.
“Kenapa mereka pilih Melaka? Dengan komposisi kaum 64% Islam dan Kristian tak sampai 4%, dan program itu dibuat di bulan Ramadan. Kemudian mereka tahu kita dengan Israel ini agak sensitif, tetapi mereka cuba menimbulkan suasana tak harmoni,” katanya.
Susulan itu, PAS Melaka diketuai Kamaruddin membuat laporan polis di Balai Polis Melaka Tengah, Banda Kaba dan meminta kerajaan mengambil tindakan tegas untuk membatalkan penganjuran program yang dijadualkan berlangsung 15-18 Jun ini.
“Kita sudah tanya kerajaan negeri dan disahkan penganjuran itu tidak sah dan tidak dapat kebenaran,” kata Kamaruddin.
“Sekiranya program itu diteruskan, jadi kita tidak teragak-agak akan buat demonstrasi besar-besaran atas dasar isu agama bukan politik.
“Kita akan buat demonstrasi itu sebelum penganjuran itu bermula bagi tujuan supaya mereka batalkan. Kita akan buat depan gereja.”
https://www.facebook.com/PASNegeriMelaka/videos/1817489334934539/
Hari ini Ketua Penerangan PAs Nasrudin Hassan mempertikaikan penganjuran program “Nations of the Golden Gate alligning with Jerusalem’s Jubilee”, yang menurut poster yang dimuatnaik akan diadakan di sebuah gereja di Melaka.
Nasrudin menyifatkan penganjuran acara itu satu bentuk provokasi daripada golongan Kristian Zionis.
“Mutakhir ini musuh Islam mula main kasar dan makin berani. Sekarang mereka sasarkan Malaysia. Mereka mahu buat sarang di sini. Ayuh bangkit ummah sebelum terlambat,” tulisnya dalam Facebook.
Sementara itu, kerajaan Melaka mengesahkan tidak pernah menerima permohonan daripada penganjur untuk acara itu.
Ketua Menteri Datuk Seri Idris Haron menolak sekeras-kerasnya cubaan menjadikan negerinya lokasi perhimpunan yang dibimbangi boleh menggugat kestabilan dan keharmonian negara.
“Untuk maklumat, kerajaan negeri tidak pernah menerima (permohonan), apatah lagi hendak meluluskan,” katanya selepas Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka ke-13 di Seri Negeri lapor Berita Harian Online.
Sementara itu, carian FMT mendapati laman web acara itu tidak lagi boleh diakses.